SUBANG, 21 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia Prabowo Subianto dan bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra di Langkawi bagi membincangkan isu-isu strategik serantau serta perkembangan ASEAN.
Anwar berkata pertemuan dua hala bersama Prabowo dijadual berlangsung pada 23 Dis manakala pertemuan dengan Thaksin pula dijadualkan pada 26 Dis.
“Presiden Prabowo memilih untuk mengadakan ini sebagai pertemuan dua hala dan juga pandangan kita soal ASEAN dan perkembangannya,” kata Anwar dalam sidang media khas di sini pada Sabtu.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.
Anwar berkata pertemuan dengan Prabowo kelak akan memberi tumpuan kepada pengukuhan hubungan baik antara kedua-dua negara, selain membincangkan peranan penting Indonesia sebagai negara anggota ASEAN yang strategik.
“Beliau (Prabowo) mempunyai kekuatan dari sudut hubungan baik beliau dengan pemimpin-pemimpin ASEAN dan pengalaman beliau, keduanya untuk membantu dalam beberapa isu berkaitan,” katanya.
Mengenai pertemuan dengan Thaksin, Anwar berkata ia dijangka menyentuh mengenai pelbagai isu pembangunan serantau serta pendekatan diplomatik untuk menyelesaikan cabaran bersama.
Anwar baru-baru ini mengumumkan pelantikan Thaksin sebagai penasihat tidak rasmi beliau dalam mempengerusikan ASEAN pada 2025.
Pengumuman itu dibuat semasa sidang media bersama Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra - anak perempuan Thaksin - yang ketika itu sedang melawat Malaysia pada 16 Dis di Putrajaya.
Malaysia secara rasmi akan memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1 Jan 2025. Tema Kepemimpinan ASEAN 2025 Malaysia adalah “Keterangkuman dan Kelestarian”.
Malaysia pernah memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005, dan 2015.
Anwar berkata pertemuan bersama Prabowo dan Thaksin itu mencerminkan komitmen Malaysia untuk terus memainkan peranan penting dalam memastikan ASEAN kekal relevan dan bersatu dalam menghadapi cabaran global.
“Pertemuan dua hala ini dijangka membawa hasil yang positif bagi mengukuhkan hubungan serantau, sekali gus menyumbang kepada kestabilan dan kemakmuran ASEAN,” katanya.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial