AM > BERITA

Johor Selesai Tujuh Projek Sakit Libatkan Nilai Hartanah Rm700 Juta

21/12/2024 03:03 PM

KLUANG, 21 Dis (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor berjaya menyelesaikan tujuh projek perumahan yang dikategorikan projek sakit dan terbengkalai melibatkan anggaran nilai hartanah kira-kira RM700 juta, sepanjang tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negari Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata projek perumahan itu membabitkan lebih kurang 3,000 pemilik rumah.

Antaranya projek Residensi Larkin, Taman Sri Saujana Kota Tinggi, Taman Sri Molek Perdana Plentong dan Taman Impian Jaya Senai.

“Kita akan membantu menyelesaikan projek sakit ini sekiranya dia (pemaju) memang berniat nak selesaikan dan datang pada kerajaan … tetapi kalau pemaju ini tiada niat untuk selesaikan, kita di peringkat kerajaan negeri tidak boleh buat apa-apa.

“Perjanjian pembinaan (perumahan) adalah antara pemaju, kontraktor dan pembeli serta bank … sebenarnya kerajaan negeri tidak terlibat tetapi kita alu-alukan jika mereka perlukan bantuan kita (kerajaan),” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Taman Puterimas Fasa 2 di sini hari ini.

Beliau berkata pihak kerajaan negeri juga dalam usaha menyelesaikan tiga lagi projek perumahan yang dikategorikan sakit dan dijangka dapat diselesaikan pada tahun hadapan.

Sementara itu, Mohd Jafni berkata kerajaan negeri menyasarkan untuk menyerahkan 30,000 unit Projek Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) kepada pemilik rumah hingga tahun 2026.

“Sehingga kini, sebanyak 13,000 unit rumah berjaya diserahkan kunci RMMJ kepada pemilik dan bakinya sebanyak 17,000 unit kita akan cuba serahkan mengikut jadual ditetapkan.

“Daerah Kluang ini sebenarnya daerah kedua tertinggi yang menerima inisiatif RMMJ dengan lebih kurang 4,400 unit rumah adalah untuk daerah ini,” katanya

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan