AM > BERITA

UNISEL, KDH Meterai MoA Tawar Program Pengajian MADANI

23/12/2024 06:56 PM

SHAH ALAM, 23 Dis (Bernama) -- Universiti Selangor (UNISEL) dan Kolej Dar al-Hikmah (KDH) hari ini memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bagi menjalin kerjasama menawarkan kursus Pengajian MADANI iaitu program pascasiswazah baharu yang dijangka bermula 2025. 

Perjanjian itu ditandatangani oleh Presiden dan Naib Canselor UNISEL Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman dan Presiden KDH Datuk Dr Muhammad Nur Manuty, disaksikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan pada majlis di UNISEL Kampus Shah Alam di sini.

Dalam ucapannya, Zulkfili berkata program Pengajian MADANI akan menjadi satu konsep atau gagasan untuk pendidikan, khususnya berbentuk kepimpinan dari segi pemikiran secara menyeluruh.

“Sebenarnya realiti hari ini, kita lihat perkembangan positif dengan ramai aktivis, penggiat dan pelaksana menolong dan membuat kebaikan serta menyebarkan rahmah kepada seluruh alam.

“Namun, kita kekukarangan dan ketinggalan (aspek) iaitu ‘thought of leadership’ iaitu kepimpinan dari aspek pemikiran. Jadi, pelancaran program ini tepat pada waktunya dan kita ingin melahirkan lebih ramai ‘thought of leadership’ serta korpus ilmu baharu,” katanya.  

Sementara itu, Mohammad Redzuan berkata untuk peringkat Sarjana, tempoh pengajian adalah minimum setahun manakala Doktor Falsafah selama tiga tahun mengikut struktur ditetapkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan akan dilaksanakan secara dalam talian.

Beliau berkata bilangan pelajar serta sukatan pelajaran akan ditentukan selepas sesi muzakarah pada Januari.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan