AM > BERITA

479 Mangsa Terjejas, 113 Rumah Rosak, Roboh Akibat Ribut

23/12/2024 08:57 PM

SEMPORNA, 23 Dis (Bernama) -- Ribut yang melanda empat perkampungan atas air di sini semalam mengakibatkan 497 orang terjejas dengan 113 kediaman rosak serta roboh. 

Pegawai Daerah Semporna Alexander Liew berkata kampung yang terkesan dalam kejadian yang berlaku pada 3 pagi itu ialah Kampung Selamat, Kampung Sri Aman, Kampung Sejati serta Kampung Batu.

“Sebanyak 102 rumah rosak, 11 rumah roboh termasuk dua masjid dan 20 kenderaan turut rosak manakala mangsa keseluruhan adalah 497 orang. 

“Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Program Perumahan Rakyat Bubul Ria dan setakat ini terdapat 59 mangsa ditempatkan di PPS itu," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya sentiasa bersiap siaga dan bekerjasama dengan agensi terlibat bagi menangani sebarang bencana berlaku di daerah itu.

Sementara itu seorang mangsa Anuar Yakub, 45, berkata kejadian ribut yang berlaku pada 3 pagi itu begitu menakutkan apabila angin pusar puting beliung berada betul-betul di atas rumah mereka hingga mengakibatkan kediaman atas air itu terangkat.

“Ribut yang berlaku pada awal pagi berputar seperti mesin pengisar, saya nampak atap rumah tercabut dan diterbangkan angin, rumah kami seolah 'diangkat'  sebelum 'dijatuhkan' semula ke laut, ia berlaku lebih 10 saat.

“Waktu itu saya, isteri dan tiga anak serta seorang anak buah yang berada dalam rumah hanya mampu berteriak dan berdoa. Apabila rumah saya ‘jatuh’ semula ke laut dan angin berlalu ke tempat lain, kami sekeluarga terus keluar dari rumah, syukur pada waktu itu air laut surut," kata penduduk Kampung Selamat itu kepada Bernama.  

Anuar yang bekerja sebagai buruh berkata selain kediamannya, tiga rumah serta dua kedai runcit terletak bersebelahan turut roboh manakala terdapat rumah jiran lain rosak termasuk atap tercabut.

Dolisa Abd Rauf, 35, yang juga penduduk Kampung Selamat berkata ketika kejadian dia bersama enam anaknya sedang tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi angin kencang dan rumah bergoyang kuat.

“Ribut berlaku pada 3 pagi bersama hujan lebat, apabila rumah bergoyang kuat saya dan anak-anak berkumpul di ruang tengah rumah kerana kami takut untuk keluar rumah, waktu itu saya ingatkan hanya hujan biasa dan angin tidak sangka pula ribut.  

“Mulanya atap zink rumah kami diterbangkan angin, kayu dan tiang pula jatuh menyebabkan kami terperangkap sebelum rumah roboh ke laut, syukur air laut tidak dalam dan kami dapat menyelamatkan diri," katanya.

Wilmah Jainin, 34, pula berkata separuh daripada rumahnya iaitu ruang bilik serta dapur roboh manakala atap rumah tercabut dan diterbangkan angin .

"Ketika kejadian saya, suami dan lima anak berada di rumah sedang tidur. Saya dan suami terjaga apabila berasa gegaran serta bunyi kuat, saya bangunkan anak-anak dan waktu itu atap rumah sudah diterbangkan angin, kami anak-beranak hanya mampu berkumpul di beranda rumah.

“Di luar pula kami lihat beberapa rumah jiran turut roboh, atap dan dinding rumah mereka diterbangkan angin. Saya jadi trauma dengan kejadian ribut ini yang pertama kali berlaku di Kampung Selamat," katanya.

Wilmah dalam pada itu berharap kerajaan dapat memberi bantuan sewajarnya kepada semua mangsa terjejas termasuk keperluan pembaikan rumah.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya Jamil Hamzah berkata pihaknya akan memberi bantuan termasuk sumbangan zink bagi pembaikan rumah mangsa serta dua masjid terjejas.

"Saya juga mohon kepada kerajaan agar memberi keutamaan kepada rumah yang roboh untuk dibantu bina semula selain pembaikan rumah yang rosak," katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan