AM > BERITA

Nahas KM204: KPWKM Sedia Salur Khidmat Kaunseling Kepada Mangsa, Waris

24/12/2024 06:33 PM

BUKIT BESI, 24 Dis (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersedia menyalurkan bantuan kaunseling kepada waris mangsa yang maut dan mereka yang terselamat dalam kemalangan di KM204 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di Alor Gajah, Melaka, malam tadi. 

Timbalan Menterinya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata pihaknya sedang menunggu laporan penuh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Polis Diraja Malaysia berkaitan nahas yang meragut tujuh nyawa itu.

"Memang JKM akan turun (bantu), kementerian ingin bantu dari segi kaunseling. Kita ada kaunselor untuk mendampingi mereka dan keluarga.

“Sesungguhnya saya dan seluruh warga KPWKM amat berdukacita dengan kemalangan ini," katanya selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Ketua Wanita UMNO Malaysia bersama Ketua Wanita UMNO Cawangan, Bahagian Dungun, di sini hari ini. 

Tujuh termasuk lima sekeluarga maut manakala 33 cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran yang membawa 27 penumpang, dua lori, sebuah kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima di KM204 Lebuhraya PLUS arah utara, 8.45 malam tadi. 

Siasatan awal polis mendapati bas persiaran itu terlanggar tayar lori yang tercabut di lorong tengah dan menyebabkannya hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan tiga kenderaan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ashari Abu Samah berkata mereka yang terkorban ialah pemandu MPV Khairul Ikhwan Mazupi, 32, bersama penumpang Fadzlenna Ramli; Ramli Ab Wahab, 66; Fauziah Jaafar, 69; Muhammad Umar Khairul Ikhwan, 2; pemandu bas persiaran Noorisnien Khamid, 56, dan penumpang bas persiaran warga Singapura Lamrah Asid Ali, 66.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan