AM > BERITA

Agrobank Galak Pesawah Sertai Skim Takaful Tanaman Padi

24/12/2024 07:01 PM

KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Pesawah yang berdaftar dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di seluruh negara digalakkan menyertai Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) sebagai perlindungan ketika bencana.

Agrobank dalam kenyataan hari ini memaklumkan STTP penting dalam berdepan risiko bencana seperti banjir atau kemarau selain serangan penyakit dan makhluk perosak.

“STTP membantu memastikan kelangsungan tanaman padi sekiranya berlaku sebarang bencana. Tanpa perlindungan mencukupi, pesawah mungkin terpaksa menanggung kerugian yang besar, menyebabkan mereka tidak dapat meneruskan aktiviti pertanian.

“Pesawah hanya perlu melengkapkan borang Cadangan Takaful dan pembukaan akaun Agrobank (sekiranya belum mempunyai akaun Agrobank) di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) atau cawangan Agrobank berdekatan untuk memanfaatkan skim ini. Ia sungguh mudah dan cepat,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin dalam kenyataan itu.

Beliau berkata lebih 30,000 pesawah dari seluruh negara telah mendaftar untuk menyertai STTP setakat bulan lepas dan jumlah berkenaan dijangka meningkat susulan banjir di beberapa negeri baru-baru ini.

Skim itu katanya menawarkan perlindungan kewangan sehingga RM3,000 bagi sehektar semusim kepada pesawah yang mengalami kerosakan tanaman akibat bencana alam seperti banjir atau kemarau manakala RM1,500 sehektar semusim bagi serangan penyakit dan makhluk perosak.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan