AM > BERITA

Anak Jati Kelantan Juarai "International Folklore And Music" Di Republik Czech

24/12/2024 07:29 PM

KOTA BHARU, 24 Dis (Bernama) -- Dua remaja anak jati Kelantan, Nur Syafawati Damia Safwan dan Nik Mohamed Firdaus Putra Nik Aziz mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa apabila menjuarai pertandingan nyanyian “International Folklore and Music” di Republik Czech yang berlangsung pada 11-20 Dis lepas.

Kedua-duanya yang  berusia 17 tahun itu merangkul tempat pertama bagi kategori “Vocal Duet of Excellent Group” sekali gus menewaskan lebih 40 peserta lain dari tujuh negara yang menyertai pertandingan tersebut.

Kejayaan manis itu dicipta menerusi dendangan lagu berentak irama Malaysia berjudul 'Bergending Dang Gong' dipopularkan biduanita negara Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Allahyarham Datuk SM Salim, yang turut mendapat tepukan gemuruh daripada penonton. 

Nur Syafawati Damia, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeli berkata dia tidak menyangka memenangi pertandingan itu kerana peserta yang bersaing semuanya hebat dan memiliki kualiti vokal tersendiri.

“Saya tidak sangka mampu meraih tempat pertama kerana kami perlu bersaing dengan peserta dari pelbagai negara termasuk tuan rumah iaitu Republik Czech, Ukraine dan Amerika Syarikat. 

“Alhamdulillah, saya dan Nik Mohamed Firdaus Putra dari SMK Raja Sakti berjaya menyampaikan lagu ini dengan baik dan sangat gembira kerana dapat mengharumkan nama negara sekali gus mengangkat martabat lagu irama tradisonal,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Nur Syafawati Damia berkata semasa persembahan mereka mengenakan busana songket tradisional puteri Kelantan sebagai usaha mempromosikan pakaian tradisi yang terdapat di Malaysia.

Bercerita lanjut, anak sulung daripada empat beradik itu mengakui mewarisi bakat menyanyi daripada ibunya, Siti Nor Abidah Zainuddin, 38, yang banyak memberi tunjuk ajar terutama dari segi teknik vokal dan penyampaian ketika menyanyi.

“Sebelum pertandingan baru-baru ini, saya mempersiapkan diri dengan berlatih di bawah bimbingan cikgu Suhaida Sukri terutama pada waktu terluang kerana saya perlu juga membahagikan masa untuk fokus pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Saya turut mendapat sokongan daripada bapa, Safwan Mamat, 39, yang tidak pernah menghalang saya untuk menyertai pelbagai pertandingan nyanyian sejak dari kecil lagi," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan