AM > BERITA

Fahmi Zahir Ucapan Takziah Kepada Keluarga Timbalan Pengarang Sinar Harian

24/12/2024 11:02 PM

KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian Rosli Hassan, yang meninggal dunia hari ini.

“Seorang lagi rakan media meninggalkan kita hari ini, saya berdukacita menerima perkhabaran saudara Rosli Hassan telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi.

“Sama-sama kita doakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beramal soleh. Semoga Allah SWT kurniakan ketabahan dan kesabaran, serta permudahkan urusan keluarga Allahyarham yang tercinta," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Fahmi turut mengucapkan takziah kepada seluruh warga Sinar Harian atas pemergian Allahyarham.

Pemergian Allahyarham disahkan Ketua Pengarang Sinar Harian Zamri Rambli ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, isteri Rosli, Rosabariah Shamsudin berkata suaminya menghembuskan nafasnya yang terakhir di Pusat Jantung Hospital Sultan Idris Shah, Serdang pada jam 6.05 minit petang tadi akibat komplikasi jantung selepas menerima rawatan di hospital itu selama dua minggu.

Rosabariah berkata Allahyarham, 49, sebelum ini dibawa ke hospital Hospital Kajang kerana mengadu sakit perut sejak 9 Dis, sebelum dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) pada 11 Dis.

“Dia kemudian dirujuk ke Hospital Serdang dua hari selepas itu untuk mendapat rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Dalam pada itu, Pengarang Kumpulan Sinar Harian Zambri Ramli yang dihubungi menyifatkan pemergian Rosli merupakan satu berita yang mengejutkan rakan-rakan, kerana sebelum ini Allahyarham dalam keadaan sihat.

“Arwah Rosli seorang yang sangat dedikasi dengan tugasnya dan mencintai dunia penyiaran,” katanya kepada Bernama.

Allahyarham yang sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Penolong Pengarang Berita di Kosmo dan sebelum berkhidmat di Sinar Harian sejak 2020, meninggalkan seorang balu dan lima orang anak iaitu seorang perempuan dan empat lelaki.

Jenazah akan dibawa ke Surau An-Nur, Pangsapuri Sri Malaysia, Sungai Besi dan dijadualkan dikebumikan esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan