AM > BERITA

SSPA: Jangan Buat Pinjaman Tidak Perlu Susulan Kenaikan Gaji - CUEPACS

26/12/2024 04:01 PM

PUTRAJAYA, 26 Dis (Bernama) -- Penjawat awam diingatkan agar tidak membuat pinjaman berlebihan atau bertindih yang tidak perlu susulan kenaikan gaji di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Abdul Rahman Mohd Nordin berkata SSPA seharusnya tidak dijadikan alasan untuk penjawat awam menambah pinjaman, yang akhirnya akan menambah beban kewangan.

"Jika ingin membuat pinjaman, ia seharusnya untuk tujuan yang memberi keuntungan pada masa hadapan, seperti pinjaman perumahan atau pendidikan anak-anak, bukan untuk membeli telefon bimbit dan sebagainya.

"Risikonya, penjawat awam mungkin akan menghadapi masalah kewangan," katanya pada program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV hari ini.

Melalui SSPA yang berkuat kuasa pada 1 Dis, pegawai Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional yang memilih skim ini, akan menerima pelarasan gaji sebanyak 15 peratus secara berfasa. Fasa pertama, sebanyak lapan peratus, akan diberikan pada Disember 2024, manakala tujuh peratus lagi pada Fasa 2, Jan 2025.

Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT) pula akan menerima pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus, dengan empat peratus bagi Fasa 1 dan tiga peratus bagi Fasa 2.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata pelaksanaan SSPA adalah tepat pada masanya memandangkan gaji penjawat awam sudah hampir 12 tahun tidak disemak, sedangkan kos sara hidup kian meningkat dalam tempoh tersebut.

"Apabila tidak disemak, ditambah dengan keadaan ekonomi semasa, ia membebankan dan mengusarkan penjawat awam kerana kos sara hidup yang tinggi, sehingga sukar untuk mencukupi perbelanjaan harian, termasuk untuk rumah," katanya.

Ditanya mengenai pandangan CUEPACS berkenaan 1,400 penjawat awam yang memilih untuk tidak menerima opsyen SSPA, beliau berkata perkara itu tidak dapat dielakkan dan CUEPACS menghormati keputusan tersebut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan