AM > BERITA

PM Anwar Mahu Lebih Banyak Produk Pelancongan Papar Kisah Legenda, Sejarah Tempatan

26/12/2024 04:59 PM

KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap lebih banyak inisiatif dilakukan dalam mengetengahkan kisah legenda tempatan dan sejarah tanah air sebagai tarikan pelancong ke Malaysia.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, yang disertakan gambar lawatan ke Dream Forest Langkawi di Pulau Langkawi, Kedah, Anwar berkata usaha ini perlu disemarakkan bagi memantapkan sektor pelancongan negara.

Beliau turut meluahkan kekaguman terhadap bakat kreatif yang ditonjolkan oleh Dream Forest Langkawi, yang mempamerkan keunikan Pulau Langkawi dengan cara yang sangat berkesan, selain memaparkan legenda dan mitos tempatan yang merupakan sebahagian daripada warisan negara.

"Saya berharap lebih banyak inisiatif seperti ini diwujud dan disemarakkan bagi memantapkan sektor pelancongan negara, di samping menghidupkan minat terhadap legenda dan sejarah tanah air.

"Langkawi bukan sahaja sebuah pulau yang indah, tetapi ia penuh dengan kisah dan warisan yang harus ditelaah dan dikaji oleh generasi kini dan akan datang," katanya.

Dalam hantaran sama, Anwar mengumumkan bahawa beliau telah menghubungi pemilik Dream Forest Langkawi Puan Sri Tiara Jacquelina Eu Abdullah dan suaminya Tan Sri Mohd Effendi Norwawi, untuk menyampaikan penghargaan atas usaha mereka dalam merealisasikan inisiatif tersebut.

"Saya usulkan supaya juga ditambah dengan memberi gambaran hala tuju Langkawi dan teknologi baru," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan