PUTRAJAYA, 26 Dis (Bernama) -- Penyedia perkidmatan, Telegram dan Tencent (WeChat) telah memulakan proses pelesenan yang diperlukan untuk beroperasi di Malaysia, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan kedua-dua platform dijangka memenuhi syarat yang diperlukan untuk beroperasi di Malaysia dalam masa terdekat.
"MCMC memuji komitmen Telegram dan Tencent untuk mematuhi keperluan pelesenan tersebut," menurut kenyataan itu.
MCMC turut menyeru semua penyedia perkhidmatan yang memenuhi syarat pelesenan agar segera mengemukakan permohonan mereka, sebelum tarikh akhir pada 31 Dis ini.
Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan tindakan pengawalseliaan diambil walaupun ia adalah perkara yang mahu dielakkan oleh semua pihak.
"MCMC juga komited untuk memberikan sokongan yang diperlukan kepada semua penyedia perkhidmatan bagi memastikan proses permohonan mereka berjalan lancar," menurut Suruhanjaya itu.
Keperluan pelesenan yang berkuat kuasa mulai 1 Jan depan, bertujuan untuk meningkatkan keselamatan dalam talian, melindungi pengguna, dan memperkukuh kawal selia ke atas penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial.
Kerangka ini dirangka untuk mewujudkan persekitaran dalam talian yang dipercayai dan selamat dengan menyeru penyedia perkhidmatan agar melindungi pengguna, khususnya kanak-kanak dan golongan rentan.
Selain itu, rakyat Malaysia juga mendapat manfaat daripada peningkatan keselamatan, pengalaman pengguna yang lebih baik serta perlindungan yang lebih teguh terhadap kandungan berbahaya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial