KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) -- Tindakan PAS mempolitikkan majlis Sambutan Hari Natal di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) baru-baru ini disifatkan sebagai tidak menghormati hak rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
Tiga Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP dalam kenyataan bersama hari ini menyelar tindakan PAS yang sepatutnya mempertahankan serta mendukung hak dan kepentingan semua kaum seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, bukannya memecahbelahkan masyarakat dengan politik sempit.
Sheikh Umar Bagharib Ali, Young Syefura Othman dan Syahredzan Johan berkata kepelbagaian etnik, ras, serta suku kaum di Malaysia perlu diraikan, difahami dan saling dihormati, bukannya dimanipulasi demi kepentingan politik atas nama agama.
"PAS digesa membawa semangat Malaysia dalam politik tanah air dan meninggalkan politik ekstrem yang tidak meraikan perpaduan dalam kepelbagaian di negara kita. Sesungguhnya kepelbagaian itulah yang menjadi tonggak kekuatan kita.
"Tindakan mempolitikkan perayaan Hari Natal juga bercanggah dengan kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menyambut baik sambutan itu dengan menyifatkannya sebagai satu langkah pembinaan masyarakat Malaysia yang lebih berkualiti atau bermoral," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu juga menyatakan bahawa semua yang terlibat dengan persembahan semasa sambutan adalah mereka yang menyambut Hari Natal, terutama sekali mereka dari Sabah dan Sarawak, dan tiada yang dipaksa untuk menghadiri majlis tersebut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial