AM > BERITA

LHDN Terima 114 Juta Rekod E-invois Setakat 26 Dis

27/12/2024 11:23 AM

KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerima 114 juta e-invois daripada 9,000 pembayar cukai setakat semalam.

Pengarah Jabatan Khidmat Korporat LHDN Noraini Mustafa berkata terhadap sistem e-invois ini sangat memberangsangkan, terutamanya dalam kalangan pembayar cukai bagi fasa pertama, malah terdapat penyertaan lebih awal secara sukarela daripada syarikat yang sepatutnya berada pada fasa dua dan fasa tiga.

“Sebanyak 5,000 syarikat terlibat di fasa pertama yang melibatkan pendapatan RM100 juta. Syarikat yang sepatutnya berada di fasa dua dan tiga ini turut mengambil peluang menjalankan tanggungjawab dengan menggunakan sistem e-invois ini lebih awal,” katanya.

Noraini berkata demikian selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara dengan tajuk ‘HASIL Mendidik untuk Kesedaran dan Tanggungjawab Bersama’ terbitan Bernama TV, semalam. 

Katanya berkata fasa dua sistem e-invois akan berkuat kuasa pada 1 Jan tahun hadapan, manakala fasa tiga pada 1 Julai 2025.

Menurut Noraini, pihaknya telah melaksanakan 200 program literasi percukaian di seluruh negara antaranya seperti HASiL Your Tax Buddy, Program Sahabat Hasil dan Business Entrepreneur Support & Training (BEST). 

“HASiL Your Tax Buddy dan Program Sahabat Hasil ditujukan khas kepada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi, manakala program BEST memberi khidmat sokongan kepada usahawan tentang cara untuk melunaskan tanggunjawab mereka sebagai pembayar cukai,” katanya.

Beliau berkata kesemua program yang dilaksanakan melibatkan tiga kategori, iaitu bakal pembayar cukai, pembayar cukai sedia ada, dan pembayar cukai yang di luar jaringan.

“Bagi kategori bakal pembayar cukai ini, kita membuat program-program untuk pelajar sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti. Manakala, untuk pembayar cukai di luar jaringan ini, selain taklimat, hebahan turut dilakukan melalui melalui media sosial di Instagram, Facebook, X dan TikTok,” katanya. 

Selain itu, beliau berkata LHDN telah melaksanakan pelbagai Operasi Pematuhan Cukai (Op) di seluruh negara tahun ini merangkumi Op Hidang, Op Borneo 1.0,  Op Borneo 2.0, Op Gading, Op Zapin, Op Labuan dan Op Borneo 2.0 plus, Op Pantai Timur, Op Mega Corp, Op Metro, Op Melaka dan Negeri Sembilan.

Noraini berkata menerusi usaha berterusan dalam pendidikan cukai, ia diyakini dapat membentuk generasi masa depan yang lebih bertanggungjawab dan berwawasan, serta memahami kepentingan cukai dalam membangunkan ekonomi dan masyarakat yang lebih sejahtera.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut berhubung maklumat percukaian, pembayar cukai dinasihatkan agar membuat semakan menerusi saluran seperti di www.hasil.gov.my atau https://mytax.hasil.gov.my boleh menghubungi di talian 03- 8911 1000. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan