AM > BERITA

Projek Pembuatan Pau Sejuk Beku Antara Kemahiran Bantu Pelatih PRP Mantin Mulakan Hidup Baharu

27/12/2024 11:40 AM

SEREMBAN, 27 Dis (Bernama) -- Walaupun masih berada di pusat tahanan, lebih 500 pelatih di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Mantin sentiasa dididik untuk menjana pendapatan sendiri sebagai persediaan untuk kembali ke dunia luar.

Komander PRP Mantin Timbalan Penguasa Penjara Mohd Arif Shamsuddin, berkata antara kemahiran yang diterapkan kepada pelatih termasuk dalam bidang kulinari, seperti projek pembuatan pau sejuk beku. Projek ini bertujuan mendidik mereka untuk mencari sumber pendapatan apabila dibebaskan kelak.

“Projek pau sejuk beku ini adalah hasil kerjasama dengan syarikat luar yang memberi peluang kepada pelatih memahami realiti dunia pekerjaan. PRP Mantin hanya menyediakan tenaga kerja, manakala peralatan, kemudahan, dan barangan membuat pau, termasuk kabin sejuk beku, disediakan oleh pihak syarikat.

"Pelatih akan dibayar dan gaji mereka akan dipegang oleh pentadbir PRP Mantin sehingga mereka tamat menjalani hukuman,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama.

Mohd Arif berkata bahawa sebelum ini, lapan pelatih terlibat dalam projek pembuatan roti canai sejuk beku, namun kini mereka beralih kepada pembuatan pau yang akan dipasarkan ke luar dan dijual kepada pelawat yang datang ke PRP Mantin.

Pelatih akan dilatih oleh tenaga pengajar berpengalaman untuk memastikan pau yang dihasilkan berkualiti sebelum dipasarkan.

“Latihan ini penting untuk membantu mereka memulakan kehidupan baharu selepas tamat hukuman tanpa membebani orang lain, sekaligus mengelakkan mereka kembali kepada tabiat dan kesalahan lama,” jelasnya.

Selain bahagian kulinari, PRP Mantin turut menyediakan perkhidmatan mencuci kereta yang dikendalikan oleh enam pelatih warga Indonesia yang kini berada di peringkat akhir hukuman.

Inisiatif ini bertujuan mengurangkan bebanan kerajaan dalam menyediakan tiket penerbangan untuk menghantar mereka pulang ke negara asal selepas menjalani hukuman di Malaysia.

“Kami minta banduan warga asing ini menjalankan kerja dalam PRP Mantin, dan hasil duit yang diperoleh akan digunakan untuk membeli tiket penerbangan bagi menghantar mereka pulang,” tambah Mohd Arif.

Katanya, PRP Mantin terus komited menyediakan pelbagai latihan dan peluang pembangunan diri kepada penghuninya bagi memastikan mereka bersedia untuk menyumbang kepada masyarakat selepas pembebasan.

Seorang pelatih yang dikenali sebagai Fatah, 25, berkata dia bersama rakan-rakan membuat pelbagai jenis pau antaranya pau kelapa, kacang merah, pandan, dan coklat yang dijual dengan harga RM4 bagi 10 biji. Pau yang siap akan disejuk beku sebelum diambil oleh pemborong untuk diedarkan di sekitar Seremban dan Perak.

Fatah, yang sebelum ini dipenjarakan atas kesalahan bergaduh sehingga mendatangkan kecederaan, berharap kemahiran yang dipelajari di PRP ini akan membantunya memulakan kehidupan baharu selepas dibebaskan.

"Menjalani hukuman di penjara sangat menginsafkan. Saya tidak mahu menyusahkan keluarga lagi. Setelah tamat hukuman, saya ingin menggunakan ilmu yang dipelajari di sini untuk bekerja di luar," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan