AM > BERITA

Pesawah Di Melaka Boleh Sewa Dron Untuk Aktiviti Pertanian - Exco

27/12/2024 04:37 PM

MELAKA, 27 Dis (Bernama) -- pesawah di Melaka kini berpeluang menyewa dron yang disediakan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Melaka Tengah untuk memudahkan kerja-kerja pertanian seperti meracun, mengapur, membaja, dan membenih.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh, berkata perkhidmatan dron tersebut ditawarkan pada harga berpatutan sejak Jun lalu.

"Harga sewaan bagi aktiviti meracun ialah RM40 untuk satu ekar tanah, manakala kerja-kerja mengapur dikenakan bayaran RM50 seekar tanah.

"Untuk membaja, harga yang ditawarkan adalah RM15 untuk satu beg (sekitar 20 kilogram baja), dan bagi kerja membenih, harga sewa adalah RM15 bagi satu beg benih," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dari Datuk Lim Ban Hong (BN-Klebang) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri hari ini, berkenaan skim dan bantuan kerajaan untuk membantu pesawah dan petani memodenkan peralatan serta kaedah pertanian mereka.

Dr. Muhamad Akmal berkata penggunaan dron tersebut bukan sahaja menjimatkan masa dalam melaksanakan kerja-kerja pertanian, tetapi juga berpotensi meningkatkan hasil pengeluaran produk pertanian di negeri Melaka.

Beliau juga berkata pada tahun ini, sebanyak RM63,750 telah dibelanjakan untuk pembangunan industri lebah madu dan kelulut di Merlimau, Jasin, dan Masjid Tanah, Alor Gajah, yang melibatkan 103 petani.

Katanya selain itu, bagi pembangunan industri makanan seperti sayuran dan tanaman ladang, pelbagai jentera kecil telah dibekalkan untuk projek-projek pertanian dengan peruntukan sebanyak RM188,867.50, memberi manfaat kepada 36 petani.

"Kita juga membekalkan set fertigasi bagi pembangunan industri makanan fertigasi di negeri ini melibatkan peruntukan sebanyak RM84,814 kepada lapan petani manakala bagi pembangunan industri makanan iaitu padi, sebuah mesin 'transplanter' padi bernilai RM63,000 digunakan di ladang benih padi di Merlimau yang memberi manfaat kepada 18 petani," katanya.

Beliau berkata pada tahun ini, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Melaka membelanjakan sebanyak RM700,000 bagi Skim Pemilikan Jentera dan Peralatan Kecil Peladang khususnya untuk mereka yang berdaftar di bawah persatuan peladang di negeri itu.

Menerusi skim ini, petani menerima geran sebanyak 70 peratus daripada harga jentera yang ingin dibeli atau nilai maksimum RM20,000.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan