AM > BERITA

Fiesta Pantai Port Dickson Akan Disenaraikan Dalam Kalendar Pelancongan Negeri Sembilan

27/12/2024 09:10 PM

PORT DICKSON, 27 Dis (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan akan memasukkan Fiesta Pantai Port Dickson (PD) dalam kalendar pelancongan bermula tahun depan setelah lebih 30 tahun acara itu tidak dilaksanakan secara rasmi.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri Mustapha Nagoor berkata inisiatif itu bertujuan mengembalikan semula aktiviti sukan air termasuk bola jaring pantai, bola sepak pantai dan perahu berhias yang popular sejak ia dimulakan sekitar 1990-an di daerah itu.

Beliau berkata walaupun aura Pesta PD mungkin tidak dapat dikembalikan seperti dahulu, namun usaha untuk menjenamakan semula program berkenaan perlu diteruskan mengikut arus perkembangan dan peredaran semasa terutama bagi memperkenalkannya kepada generasi muda.

"Port Dickson memang popular dengan sukan air dan aktiviti pantai sejak 30 tahun lepas, namun setelah itu ia terhenti, hanya pihak luar yang datang buat aktiviti sukan air sendiri, sebab itu sekarang kita mahu menjenamakan semula program ini dengan mengikut perkembangan alaf baharu.

"Hasrat kami ingin menjadikan Fiesta Pantai PD ini sebagai acara tahunan yang dinantikan semua sekali gus mengangkat semula nostalgia Pesta PD kepada generasi baharu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Fiesta Pantai PD 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata program berkenaan bukan sahaja memberikan impak yang besar dalam merancakkan sektor pelancongan Negeri Sembilan, tetapi juga mampu meningkatkan sosioekonomi terutama penduduk yang berada di kawasan sekitar Port Dickson.

Mustapha berkata setakat ini hampir 30 aktiviti pantai dan sukan air membabitkan lebih 500 penyertaan daripada pelbagai pihak dalam dan luar negeri termasuk persatuan sukan air Port Dickson terlibat untuk acara berkenaan.

Dalam pada itu, beliau menjangkakan kehadiran kira-kira 10,000 pengunjung memeriahkan program selama dua hari hingga Ahad ini anjuran pejabatnya dengan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).

Beliau berkata pelbagai pengisian disediakan sepanjang acara terbabit termasuk sukan pantai seperti pertandingan bola jaring pantai, bola sepak pantai, pertandingan kabadi, dan segmen kerohanian seperti audio siar keagamaan bersama PU Rahmat, qasidah dan penyampaian sumbangan kepada asnaf.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan