AM > BERITA

JKNNS Akui Berlaku Kelewatan Kemasukan Pesakit Ke Wad HTJ, Ambil Tindakan Segera

29/12/2024 02:40 PM

SEREMBAN, 29 Dis (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) mengakui terdapat kelewatan kemasukan sebahagian pesakit ke wad di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini pada Jumaat lepas dan menyesali situasi itu.

Pengarah berkenaan Datuk Dr Harlina Abdul Rashid berkata ini berikutan pada hari yang sama berlaku kebakaran di bilik suis utama pencawang hospital menyebabkan sedikit gangguan operasi ketika itu.

“Selain itu, jumlah kedatangan pesakit di Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETD) yang juga agak tinggi pada waktu itu serta ketiadaan katil kosong di wad.

"Bagi mengurangkan kesesakan, sebuah 'discharge lounge' memuatkan enam katil dan  'holding bay' dengan kapasiti 12 katil sebagai wad transit sementara telah disediakan untuk mengurangkan impak kelewatan berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata sebagai langkah penambahbaikan seterusnya, tindakan dirangka sebelum ini akan terus diperkasa dan diaktifkan jika situasi yang sama berlaku supaya isu menunggu lama dapat diatasi pada masa akan datang.

Dr Harlina berkata ia termasuk memantau syif di ETD supaya pesakit dapat diberikan prioriti yang bersesuaian selain melaksanakan aktiviti 'step-down' pesakit iaitu memindahkan kes-kes yang bersesuaian ke hospital lain (jika perlu) serta mobilisasi segera kakitangan tambahan ke ETD.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai gejala ringan turut dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan bagi membolehkan ETD di hospital memberikan tumpuan kepada kes kecemasan dan mengurangkan kesesakan di hospital.

Tambah beliau, HTJ dan Kementerian Kesihatan kekal komited dan sentiasa memastikan tiada kompromi dalam kualiti perawatan pesakit.

Jumaat lepas, media tempatan melaporkan berlaku kesesakan luar biasa di wad HTJ sehingga mencetuskan kebimbangan ramai.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan