KOTA BHARU, 30 Dis (Bernama) -- Fenomena banjir yang melanda Kelantan sejak semalam terus membawa cabaran besar apabila berlaku dua kejadian tanah runtuh dan dua jalan utama terputus di jajahan Machang.
Insiden ini bukan sahaja melumpuhkan pergerakan penduduk setempat, tetapi juga meningkatkan risiko keselamatan di kawasan berkenaan.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan Nik Soh Yaacoub berkata dua jalan yang terputus ialah jalan Persekutuan di FT 479 Jalan Kemuning–Bukit Belah dan jalan Negeri D16 Jalan Batu 30–Temangan akibat dinaiki air.
Beliau berkata kesemua jalan yang terputus itu tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan berat dan ringan kerana kedalaman air kira-kira 0.8 meter.
"Dua kejadian tanah runtuh pula berlaku di jalan masuk ke stesen VHF Bukit Bakar dan FT 008 jalan Kota Bharu–Gua Musang berdekatan dengan Dataran Bukit Belah.
"JKR telah meletakkan papan tanda amaran dan penghadang di kawasan terlibat supaya pengguna berhati-hati serta mematuhi peraturan yang telah ditetapkan agar tidak berlaku kejadian yang tidak diingini," katanya kepada Bernama hari ini.
Nik Soh berkata pengguna boleh menggunakan laluan alternatif dan melayari laman web https://bencana.jkr.gov.my/ untuk mengetahui maklumat lebih lanjut mengenai situasi semasa, seperti jalan tutup dan tanah runtuh yang berlaku di kawasan terlibat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial