KOTA BELUD, 30 Dis (Bernama) -- Kerajaan Sabah memperuntukkan RM124.7 juta bagi membangunkan sektor perindustrian dan keusahawanan di negeri ini tahun depan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata kerajaan negeri melalui Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya turut memberi tumpuan dalam pembangunan usahawan dan koperasi, secara langsung ia akan menyumbang kepada peningkatan sosioekonomi masyarakat di negeri ini.
Sehubungan itu, beliau berharap usahawan dan koperasi Sabah akan mengambil setiap peluang disediakan kerajaan bagi menjadikan diri mereka lebih kompetitif dan berdaya saing.
“Ini seiring dengan komitmen kerajaan negeri yang komited untuk terus menyokong dan memperkasa sektor keusahawanan melalui pelbagai inisiatif dan program pembangunan usahawan dan koperasi di negeri ini.
“Saya percaya dengan segala bantuan yang disediakan kerajaan, lebih banyak lagi boleh dibangunkan oleh usahawan atau koperasi termasuk di Kadamaian, khususnya dalam sektor pelancongan dan pertanian,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan dikeluarkan selepas merasmikan Program Santuni MADANI Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bersama Komuniti Kota Belud sempena Majlis Rumah Terbuka Krismas Kadamaian 2024 di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kadamaian.
Hajiji berkata kerajaan negeri juga bersedia untuk mempertingkatkan lagi jaringan kerjasama dengan KUSKOP dalam pelaksanaan program-program yang lebih berimpak tinggi bersesuaian dengan kehendak dan keperluan semasa dalam konteks keusahawanan dan juga masyarakat setempat.
“Saya juga saya amat menghargai pencapaian yang direkodkan oleh KUSKOP yang sentiasa komited dalam membantu usahawan PMKS (Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana) dan koperasi termasuk komuniti penjaja dan peniaga kecil dalam memperkasakan ekosistem keusahawanan dan koperasi.
“Saya berharap KUSKOP akan terus membantu usahawan PMKS bukan di Kadamaian sahaja malah di seluruh negeri ini. Semoga segala usaha dilaksanakan KUSKOP akan memberikan manfaat kepada usahawan dan koperasi untuk mengukuhkan kelangsungan perniagaan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial