AM > BERITA

Lampu Putrajaya Jadi Platform Lahir Artis Seni Visual Dan Cahaya

30/12/2024 03:39 PM

Oleh Samantha Tan Chiew Tieng

PUTRAJAYA, 30 Dis (Bernama) -- Selepas hampir lima tahun menyepi, Festival Light and Motion Putrajaya (LAMPU) kembali dan menghidupkan suasana malam di sini sejak 27 Dis lalu.

Mengetengahkan konsep futuristik, LAMPU 2024 mengundang pereka dari Itali Michel Pusceddu dan Antaless Visual Desgin bagi memukau pengunjung dengan kreativiti mereka.

Namun siapa sangka di sebalik persembahan menarik itu ada sentuhan anak tempatan yang tidak kurang hebatnya.

Berkongsi cabaran dengan Bernama di sini hari ini, Pengarah Kreatif dan Teknikal LAMPU 2024 Hairul Effendi Asaha berkata untuk menghasilkan karya terbaik dan persembahan tanpa cela, elemen masa amat penting.

"Aspek mencabar dalam pemetaan cahaya ialah kita mengejar masa selain kandungan yang dihasilkan perlu seiring dengan tema dan teliti agar tiada sensitiviti," katanya.

Berpengalaman selama 15 tahun dalam bidang itu, beliau yang mula terlibat dalam LAMPU pada 2013, berkata pemilihan warna dan muzik juga penting bagi membantu menghidupkan naratif tanpa dialog dan hanya melalui suasana serta emosi yang dihasilkan oleh pencahayaan.

Semua itu katanya memerlukan persiapan rapi selain dibantu pasukan teknikal yang mantap.

Ditanya tentang kehadiran pereka dari luar, Hairul Effendi berkata sekalipun negara mempunyai artis digital berbakat, pereka luar tetap diperlukan bagi mengukuhkan lagi persembahan LAMPU selain menjadi pendorong kepada artis tempatan untuk menghasilkan karya di luar kotak.

"Saya berharap LAMPU dapat setaraf festiival lampu luar negara seperti Vivid Sydney, St. Petersburg, Prague atau Lyon,” katanya yang yakin LAMPU dapat diangkat ke pentas antarabangsa dalam tempoh tiga tahun.

Pada masa sama, beliau turut berharap penganjuran LAMPU dapat menarik minat generasi muda, khususnya pelajar, untuk berkecimpung dalam bidang itu.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengurusan Projek, Jabatan Kejuruteraan dan Penyelenggaraan, Perbadanan Putrajaya(PPj) Mohd Hafiz Abdul Khalek berkata cabaran paling utama bagi menguruskan persembahan di ruang terbuka ialah komunikasi.

"Komunikasi amat mencabar terutama bagi kegiatan di kawasan terbuka kerana suasana yang bising. Oleh itu, setiap komunikasi pada setiap saat itu perlu jelas dan tidak boleh ada kesilapan," katanya.

Beliau berkata LAMPU2024 menjadi penanda aras bagi negeri lain dalam penganjuran pemetaan cahaya yang berkualiti.

Bertemakan "Menerangi Masa Depan”, LAMPU 2024 anjuran PPj itu berlangsung dari 27 hingga 31 Dis di perkarangan Istana Kehakiman dengan bangunan itu sebagai layar utama pemetaan cahaya mega.

Sebanyak lima segmen dipersembahkan dengan setiap satu berdurasi 30 minit.

LAMPU 2024 bertujuan menampilkan transformasi industri pencahayaan di Malaysia, selain menonjolkan Putrajaya sebagai bandar moden dengan seni bina yang indah 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan