LABUAN, 30 Dis (Bernama) -- Kuarters petugas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Labuan di Bukit Kuda di sini yang usang kini berwajah baharu selepas kerja-kerja naik taraf dan baik pulih bernilai RM3.19 juta selesai dilakukan bulan lepas.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Labuan Ir Mohd Faizul Mohd Ali Hanapiah berkata projek yang bermula pada Julai dan siap penghujung November lepas itu melibatkan tujuh kontraktor bagi memastikan projek berkenaan siap mengikut jadual.
"Projek ini menumpukan kepada peningkatan kemudahan fizikal dan mewujudkan persekitaran yang lebih selesa untuk petugas JKDM.
"Antara kerja naik taraf yang dibuat ialah pembaikan struktur, pengindahan kawasan luaran dan dalaman, menaik taraf sistem paip dan sanitasi serta penambahbaikan lampu dan akses jalan raya," katanya kepada Bernama selepas penyerahan projek itu kepada Pengarah Kastam Labuan Aspalila Ag Tuah di kuarters Perumahan Kastam Bukit Kuda hari ini.
Mohd Faizul berkata penambahbaikan itu akan dapat memberi kesan kepada kesejahteraan petugas kastam dan keluarga mereka, mencerminkan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kualiti hidup penjawat awam.
Petugas yang mendiami kuarters berkenaan merakamkan penghargaan kepada kerajaan dan semua pihak yang terlibat dalam projek yang ditunggu-tunggu itu, atas usaha menaik taraf kediaman menjadikan ia lebih selesa dan menarik.
Sementara itu, Aspalila berkata langkah menyediakan persekitaran kediaman yang selamat dan selesa kepada petugas kastam amat penting kerana mereka turut memainkan peranan utama dalam menjamin keselamatan di sempadan negara dan memastikan kutipan hasil.
"Pengubahsuaian kuarters kastam di Bukit Kuda ini ialah sebahagian daripada usaha kerajaan dalam menambah baik infrastruktur awam di Labuan.
"Ia merupakan langkah penting dalam memastikan kemudahan perumahan penjawat awam memenuhi piawaian moden, memberi manfaat bukan sahaja kepada penduduk, tetapi juga dapat mengukuhkan semangat dan kecekapan mereka dalam penyampaian perkhidmatan," katanya.
Beliau berkata langkah menaik taraf kediaman pekerja juga amat diperlukan ketika peningkatkan kadar sewa rumah di Labuan sekali gus dapat mengurangkan beban dan meningkatkan kualiti kehidupan petugas kastam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial