KUALA BERANG, 30 Dis (Bernama) -- Seorang warga emas terpaksa meredah air sejauh 300 meter sambil mendukung cucunya bagi menyelamatkan diri selepas kediamannya dilanda banjir, pagi tadi.
Semek Mohamad, 60, dari Kampung Nibong di sini berkata kawasan rumahnya mula dinaiki air sehingga paras dada pada pukul 7 pagi akibat hujan lebat berterusan sejak pagi semalam.
"Pada mulanya mak cik dan anak-anak mahu menunggu bantuan anggota keselamatan, tetapi paras air naik dengan sangat cepat dan kami terpaksa keluar bagi mendapatkan bantuan.
"Kami tidak ada pilihan lain selain mengharung banjir. Mak cik dukung cucu lelaki berumur setahun sementara dua anak perempuan lagi dukung dan pimpin cucu berusia tujuh dan empat tahun," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Nibong, di sini hari ini.
Semek berkata beliau tidak sempat mengalihkan barangan elektrik seperti mesin basuh dan mesin kelapa yang berada di dapur kerana bimbang tidak sempat menyelamatkan diri.
Beliau berkata kediaman itu sudah dua kali dilanda banjir tahun ini, menyebabkan kerugian mencecah ribuan ringgit akibat kerosakan peralatan elektrik, perabot dan tanaman.
"Rumah mak cik tak ada orang lelaki dewasa. Semuanya perempuan. Anak mak cik seorang belum berkahwin dan seorang lagi ibu tunggal. Agak susah nak alihkan barang-barang besar sebab berat.
"Pada November lepas, mak cik dan keluarga terpaksa tinggal lapan hari di PPS kerana banjir besar," katanya.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, daerah Hulu Terengganu mencatatkan bilangan mangsa banjir seramai 285 orang daripada 83 keluarga yang menghuni di tujuh PPS, manakala lima PPS di Besut pula menempatkan 238 mangsa daripada 63 keluarga, setakat pukul 2 petang tadi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial