AM > BERITA

Sungai Golok 'Mengepung', Penduduk Berlumba Selamatkan Harta

30/12/2024 08:41 PM

PASIR MAS, 30 Dis (Bernama) -- Walaupun langit cerah tanpa hujan, limpahan air Sungai Golok yang mula ‘mengepung’ beberapa kampung di Rantau Panjang di sini sejak pagi tadi memaksa penduduk bersiap-siaga menghadapi ancaman banjir.

Penduduk kini bagaikan berlumba dengan masa, berusaha menyelamatkan apa sahaja yang mampu sebelum arus banjir menelan segalanya.

Tinjauan Bernama di Kampung Tersang, Kampung Lubok Gong, Kampung Lanchang dan Kampung Tok Deh di sini mendapati penduduk bertindak pantas memindahkan kenderaan serta haiwan ternakan ke kawasan tinggi sebelum air terus naik.

Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Kampung Tersang, Siti Khadijah Osman, 17, berkata dia telah mengemas semua dokumen penting miliknya untuk menduduki peperiksaan itu esok termasuk buku nota dan pakaian sekolah.

  "Air mula memasuki pekarangan rumah kira-kira 9.30 pagi tadi, saya bersama enam adik mengemas barang-barang yang ringan dulu sementara menunggu ayah dan ibu balik kerja petang ini," katanya kepada Bernama.

Siti Khadijah berkata kerja-kerja mengemas akan diteruskan termasuk memindahkan peralatan elektrik seperti mesin basuh dan peti sejuk ke atas rakit yang diperbuat daripada tong air di tepi rumah.

"Jika malam ini paras air semakin meningkat saya terpaksa menumpang di asrama sekolah untuk menduduki SPM esok," katanya.

Melah Saifuddin, 90, dari Kampung Lubok Gong pula berkata anaknya telah beberapa kali membaiki titi di hadapan rumahnya sebagai persiapan menghadapi banjir.

Warga emas itu berkata titi sepanjang 50 meter yang menghubungkan ke jalan utama itu memudahkan mereka untuk melakukan rutin harian tanpa perlu mengharungi banjir yang biasanya sedalam lebih satu meter.

Sementara itu, berdasarkan portal infobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran paras air Sungai Golok di Rantau Panjang dicatatkan melebihi paras bahaya iaitu 10.28 meter (bahaya 9.0 meter).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan