AM > BERITA

Galeri Borneensis UMS Tempatkan 400 Spesies Kupu-kupu Diawet Untuk Rujukan Ilmiah

31/12/2024 12:34 PM

KOTA KINABALU, 31 Dis (Bernama) -- Lebih 400 spesies kupu-kupu yang diawet kering ditempatkan dalam bilik koleksi BORNEENSIS Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini, untuk tatapan mereka yang berminat dengan serangga berkenaan.

Kurator Kanan Galeri BORNEENSIS Petherine Jimbau berkata antara spesies yang dipamerkan di Galeri BORNEENSIS termasuk sepasang kupu-kupu kebangsaan Rajah’s Brooke (Trogonoptera brookiana) yang tersenarai dalam Apendiks II CITES.

Beliau berkata di bahagian pameran pula dipaparkan poster kupu-kupu negeri Sabah iaitu Kalibambang Emas atau nama saintifiknya Troides Andromache, selepas ia dipilih sebagai kupu-kupu rasmi negeri Sabah pada 13 Sept tahun lepas.

"Kupu-kupu yang diawet itu diperoleh hasil daripada penyelidikan, kerja lapangan dan ekspedisi kakitangan, pensyarah serta pelajar untuk dijadikan sebagai rujukan penyelidik dari dalam dan luar negara malah ada yang disumbangkan rakan penyelidik luar negara," katanya kepada Bernama.

Galeri yang dirasmikan pada 13 Mac 2016 itu turut mempamerkan kepelbagaian flora dan fauna yang terdapat di Sabah khususnya spesimen yang sukar dijumpai, unik dan endemik, menjalankan pelbagai aktiviti sehingga mampu menerima lebih daripada 10,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa setahun.

Petherine berkata antara aktiviti dijalankan di Galeri BORNEENSIS seluas 430 meter persegi itu ialah lawatan sambil belajar, lawatan berpandu, kursus berkaitan flora dan fauna, aktiviti identifikasi dan pengawetan spesimen, perkhemahan pendidikan alam sekitar (Program Rakan BORNEENSIS) khusus buat pelajar sekolah menengah, dan juga pameran.

Galeri itu juga menempatkan spesies binatang lain yang diawet iaitu musang tenggalung, tenggiling, tikus bulan, kongkang, monyet belanda (awet kering/taksidermi), rangka tulang gajah pigmy Borneo, rangka tulang orang utan, ular, katak, ikan, pelbagai jenis serangga, moluska, fungi dan spesimen tumbuhan.

Sementara itu seorang jurufoto Jamiun Micheal, 43, ketika ditemui di sini baru-baru ini berkata minatnya terhadap serangga itu telah bermula pada usia belasan tahun lagi, dan beliau mula aktif mengumpul serta mengambil gambar kupu-kupu sejak 2012.

Beliau berkata hobinya yang lebih fokus kepada kupu-kupu, dan sehingga kini 196 spesies kupu-kupu telah dirakam lensa kameranya, antaranya dari keluarga Nymphalidae, Lycaenidae, Papilionidae, Pieridae, Hesperiidae dan Riodinidae.

Jamiun berkata proses mengenal pasti spesies kupu-kupu itu agak rumit dan memerlukan buku ilmiah sebagai rujukan, selain beliau sering berkomunikasi dengan pakar dalam bidang kupu-kupu di Singapura serta berkongsi gambar di media sosial, agar komuniti di luar negara dapat memberi maklumat berkaitan kupu-kupu berkenaan.

"Saya harap dapat mengenal pasti gambar kupu-kupu yang masih ada dalam simpanan yang belum ada 'ID' kerana sesetengah kupu-kupu sukar dikenal pasti jika hanya berdasarkan gambar, ada yang perlu melalui ujian seperti asid deoksiribonukleik (DNA)," katanya

Bercerita lanjut Jamiun berkata untuk mendapatkan gambar kupu-kupu, beliau akan masuk ke hutan atau mana-mana kawasan hutan simpan kerana ada spesies hanya berada pada ketinggian tertentu, ada juga mudah ditemui di kawasan tanah rendah, kawasan perumahan dan ada spesies yang gemar tinggal berhampiran sungai.

Jurufoto itu berkata cabarannya kini adalah untuk mendapatkan gambar Kalibambang Emas di habitat asalnya yang hanya boleh ditemui di kawasan tanah tinggi di Sabah dan Sarawak.

"Saya lebih suka mengambil gambar kupu-kupu dalam habitat semula jadi. Jika ada peluang, saya pasti akan mengambil gambar spesies ini dengan banyak dalam pelbagai sudut," katanya.

Gambar-gambar kupu-kupu hasil bidikan kameranya boleh dilihat di blognya iaitu jamiun.com.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan