AM > BERITA

Kerajaan Persekutuan Sentiasa Tumpu Soal Pembangunan Di Kelantan - KSN

31/12/2024 02:28 PM

PUTRAJAYA, 31 Dis (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan sentiasa memberikan penumpuan kepada soal pembangunan di Kelantan khususnya dalam mempertingkatkan akses keterhubungan antara wilayah di negeri itu melalui pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), yang bakal dinikmati sepenuhnya menjelang 2027.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata kerajaan komited dalam memastikan semua projek pembangunan di negeri berkenaan khususnya di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dipercepatkan.

“Ia termasuk memastikan isu yang dibincangkan dalam lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kelantan baru-baru ini tidak tertangguh dan dilaksanakan segera,” katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebook rasminya hari ini.

Projek ECRL sepanjang 665 kilometer itu melibatkan pembinaan 59 terowong, dan kerja-kerja pembinaan merangkumi kawasan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (SUK) Datuk Nazran Muhammad serta barisan pegawai kanan SUK di pejabatnya, di sini hari ini. 

Shamsul Azri berkata Nazran telah memberi cadangan agar lebih banyak kerjasama strategik dapat dimainkan khususnya pasca Deklarasi Kuala Lumpur - Tekad Bersama Perkhidmatan Awam Malaysia yang dimeterai pada 24 Nov lepas.

Sebelum ini Shamsul Azri berkata deklarasi berkenaan menjadi komitmen penjawat awam seluruh negara untuk menyokong sepenuhnya agenda reformasi perkhidmatan awam.

Deklarasi yang dilancarkan pada Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 pada Nov lepas itu dimeterai oleh semua pentadbiran kerajaan negeri. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan