AM > BERITA

Menteri Kabinet Doakan Kesejahteraan Rakyat Dan Kejayaan Negara Di Tahun Baharu

01/01/2025 12:29 AM

KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Membuka tirai 2025, beberapa menteri tidak ketinggalan merakamkan ucapan Selamat Tahun Baharu dengan mendoakan kesejahteraan rakyat selain turut beriltizam memastikan negara terus mencipta lebih banyak kejayaan di bawah Malaysia MADANI.

Antara menteri yang berkongsi ucapan di media sosial Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar yang mengajak orang ramai bermuhasabah dan menginsafi diri, memperbetulkan segala kekhilafan serta mengorak langkah dalam pelbagai bidang.

“Marilah bersama-sama kita memperkukuh kesatuan umat, memperteguh ukhuwah serta bersikap ihsan sesama insan. Semoga Malaysia terus aman dan damai, melimpahkan kemakmuran kepada semua rakyat. 

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan melipatgandakan tekad dan usaha, bekerja dengan bersungguh-sungguh demi melaksanakan agenda membangun Malaysia MADANI,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini. 

Senada dengan beliau, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa yang turut berharap transisi dari 2024 ke 2025 ini bukan sekadar pertukaran angka tetapi simbol peluang untuk mencipta lebih banyak kejayaan, memperkukuh perpaduan dan membawa lebih banyak perubahan yang bermakna.

“Jadikan matlamat kita untuk tahun 2025 ini lebih jelas dengan usaha yang lebih gigih bagi mencapai impian lebih tinggi. Setiap langkah kecil mampu mencipta impak besar jika kita bergerak bersama. Bersama-sama kita berusaha membina masa depan yang lebih cerah dan inklusif untuk seluruh rakyat bagi merealisasikan impian Malaysia MADANI,” katanya.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu pula menyuarakan keyakinan setiap cabaran yang ditempuh sepanjang 2024 adalah pelajaran berharga untuk memperbaiki diri, khususnya dalam memperkasakan sektor pertanian dan keterjaminan makanan.

“Kita berdepan dengan ketidaktentuan cuaca akibat perubahan iklim, tekanan ekonomi global dan cabaran dalam memastikan keterjaminan makanan untuk semua rakyat Malaysia. Semua cabaran ini telah kita tangani dengan penuh tekad dan kesepaduan hasil usaha gigih semua pihak daripada petani, penternak dan nelayan hingga kepada pemimpin industri serta rakyat Malaysia secara keseluruhan.

"Melalui kolaborasi erat antara sektor awam dan swasta, kita berjaya menstabilkan rantaian bekalan makanan negara, menggalakkan inovasi dalam sektor agromakanan serta memastikan makanan yang selamat dan mencukupi untuk semua,” katanya.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani turut berharap kestabilan negara dan perpaduan yang kukuh mampu membantu membentuk masa depan Malaysia yang lebih cerah pada 2025.

"Marilah kita terus berganding bahu untuk membentuk masa depan Malaysia yang lebih cerah. Semoga tahun baharu ini membawa keberkatan, kemakmuran dan kejayaan kepada kita semua," katanya.

Tidak ketinggalan, Menteri Pelaburan Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz selain mengucapkan Selamat Tahun Baharu, beliau juga secara berseloroh bertanyakan sama ada azam 2024 telah dicapai atau bersambung ke tahun hadapan.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil turut mengucapkan Selamat Tahun Baharu menerusi catatan di Facebooknya malam ini.

“Terima kasih dan selamat tinggal 2024. Semoga 2025 mencatatkan lebih banyak kejayaan buat Malaysia. Insya-Allah. Selamat Tahun Baharu,” katanya.

Beliau turut memuat naik video berdurasi satu minit 53 saat memaparkan perjalanan tugasnya sepanjang 2024.

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan