AM > BERITA

Lesen Penyedia Media Sosial Mula Berkuat Kuasa Hari Ini

02/01/2025 07:20 PM

KUALA LUMPUR, 1 Jan (Bernama) -- Melangkah ke tahun 2025 hari ini, turut menandakan satu lagi lembaran baharu dalam usaha kerajaan menjadikan platform media sosial di Malaysia lebih selamat apabila Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP (C)) bagi penyedia platform media sosial secara rasmi berkuat kuasa hari ini.

Langkah pelesenan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) itu dirangka bertujuan untuk meningkatkan keselamatan dalam talian, melindungi pengguna dan memperkukuh kawal selia ke atas penyedia perkhidmatan pesanan Internet serta media sosial.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) pada 27 Julai 2024, mengumumkan bahawa semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon lesen berkenaan.

Menurut MCMC, kegagalan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa adalah satu kesalahan dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil di bawah Akta 588.

Sehingga semalam, Telegram dan Tencent (WeChat) antara penyedia perkhidmatan yang telah mengemukakan permohonan pelesenan untuk beroperasi di negara ini. 

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil sebelum ini berkata pelesenan kepada platform media sosial adalah penting bagi mengatasi pelbagai permasalahan dalam Internet antaranya isu buli siber and pengantunan kanak-kanak.

Beliau berkata sejajar dengan pelaksanaan pelesenan platform media sosial itu, Kementerian Komunikasi akan memantau dan mengambil langkah tambahan sekiranya terdapat penyedia platform yang gagal melaksanakan larangan had umur penggunaan ditetapkan.

Pada 9 Dis lepas, Dewan Rakyat meluluskan pindaan kepada Akta 588 yang antara lain meminda Seksyen 211(c) dengan menggantikan perkataan 'seseorang' dengan perkataan 'pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan' selain menggantikan perkataan 'lima puluh ribu' dengan perkataan 'satu juta'.

Menerusi pindaan itu, seksyen itu tidak lagi terpakai kepada orang awam sebaliknya penggunaannya adalah kepada pemegang lesen CASP dengan denda dalam seksyen tersebut diselaraskan mengikut perkembangan semasa.

Tahun lepas, negara dikejutkan dengan beberapa insiden di platform media sosial termasuk kematian tragis seorang pempengaruh di aplikasi TikTok yang didakwa membunuh diri kerana tertekan akibat buli siber.

Selain itu pada 23 Dis, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MCMC melaksanakan operasi bersepadu ‘OP PEDO’ bagi kesalahan seksual secara dalam talian melibatkan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) yang membawa kepada penahanan 13 lelaki tempatan termasuk seorang warga emas berusia 74 tahun, selain turut merampas hampir 40,000 bahan CSAM dan pornografi dewasa.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan