PASIR MAS, 1 Jan (Bernama) -- Penubuhan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Malaysia mampu mengawal jenayah seperti penyeludupan barangan, pengedaran dadah dan senjata api, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Beliau berkata dengan penubuhan AKPS, agensi-agensi sempadan akan lebih bersedia dan menyatukan pelbagai fungsi penguatkuasaan sempadan di bawah satu chain of command.
“Pengurusan sempadan di Malaysia melibatkan pelbagai agensi antaranya seperti kastam, imigresen, kuarantin dan banyak lagi dan selalunya membawa kepada ketidakcekapan, pertindihan tugas dan halangan komunikasi.
"AKPS menyatukan pelbagai fungsi utama ini secara bersepadu di bawah tanggungjawab sebuah agensi, kita akan mewujudkan pendekatan yang terselaras untuk kawalan sempadan yang lebih baik,” kata beliau.
Shamsul Azri berkata demikian kepada pemberita sempena peluncuran program rintis AKPS di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, di sini, hari ini.
“Sebagai contoh, pengembara yang tiba di sempadan kita perlu melalui lapisan pemeriksaan layer of inspection berbeza yang diuruskan oleh pelbagai agensi, yang boleh menyebabkan kekeliruan dan kelewatan.
“Melalui penubuhan AKPS, kita mahu menyediakan pengalaman yang lebih lancar dengan pengembara boleh menjalani semua pemeriksaan yang diperlukan di lapisan pemeriksaan setempat dan tidak terlalu kompleks,” katanya.
Beliau berkata melalui cara ini, masa menunggu akan dapat dikurangkan dan seterusnya meningkatkan kepuasan orang awam melalui perkhidmatan kerajaan yang lebih baik.
Sementara itu, Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Hazani Ghazali berkata berdasarkan Akta 860, AKPS 2024 yang telah diwartakan pada 17 Okt tahun lepas, agensi ini akan bertindak sebagai agensi kerajaan barisan hadapan di pintu-pintu masuk negara termasuk pelabuhan.
Beliau berkata AKPS bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan kawalan dan pemeriksaan secara bersepadu dan komprehensif di pintu masuk darat, laut dan udara termasuk pelabuhan.
“Sebagai sebuah agensi tunggal yang diwujudkan untuk menyelaraskan semua urusan pintu masuk sempadan negara, AKPS adalah cerminan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan integriti dan keberkesanan kawalan pintu masuk sempadan berada pada tahap tertinggi.
“Program operasi rintis ini juga merupakan langkah strategik kepada sebahagian daripada usaha kita bersama-sama untuk merealisasikan amanat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” katanya.
Hazani berkata Kompleks ICQS Rantau Panjang dipilih sebagai lokasi rintis dan merupakan Proof of Concept kepada AKPS kerana ia adalah antara pintu masuk utama yang strategik antara Malaysia dan Thailand.
Beliau berkata pelaksanaan pengoperasian rintis AKPS kompleks inj merupakan langkah pertama bagi AKPS beroperasi serta mengenal pasti kebaikan dan kelemahan yang akan diperbaiki, sebelum pelaksanaan pengoperasian diperluas ke 21 lokasi pada 1 Feb ini.
“Pengoperasian rintis ini merupakan antara inisiatif persediaan pengoperasian utama AKPS kelak di samping bertujuan untuk menangani isu-isu kritikal seperti ini secara lebih tegas dan menyeluruh,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata penubuhan AKPS di bawah satu bumbung akan meningkatkan keberkesanan pengurusan sempadan.
Beliau berkata Polis Diraja Malaysia komited memberikan sokongan penuh dalam membanteras aktiviti rentas sempadan secara haram melalui laluan tidak sah.
“Penduduk di kawasan sempadan dinasihatkan untuk menggunakan tiga laluan sah iaitu ICQS Rantau Panjang, ICQS Pengkalan Kubor dan ICQS Bukit Bunga bagi semua urusan,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa kerjasama semua pihak termasuk masyarakat setempat, amat penting untuk memastikan keselamatan sempadan terus terpelihara dan kegiatan jenayah rentas sempadan dapat dibanteras secara berkesan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial