AM > BERITA

Kerajaan Komited Basmi Kemiskinan Di Kelantan - KSN

01/01/2025 06:59 PM

KOTA BHARU, 1 Jan (Bernama) -- Kerajaan akan terus memberi perhatian kepada usaha mengatasi kadar kemiskinan di Kelantan melalui inisiatif kesejahteraan rakyat dan penyelarasan bantuan langsung, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau berkata agenda pembasmian kemiskinan di Kelantan mendapat perhatian dan menjadi fokus utama kerajaan melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan.

“Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab menyediakan dan memantau data kemiskinan bagi memastikan agensi pemberi bantuan dapat menyampaikan bantuan secara langsung kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang berstatus miskin dan miskin tegar,” katanya.

Beliau turut menjelaskan antara inisiatif kesejahteraan rakyat yang dilaksanakan bersama agensi pemberi bantuan di negeri ini adalah program Didik Kasih Madani (dKasih) dan program Kasih Ihsan Madani (i-care4U), yang bertujuan untuk mencapai matlamat sifar miskin tegar.

“Seiring dengan inisiatif tersebut, usaha seperti aktiviti pemutihan dan kerjasama pasukan petugas (task force) peringkat agensi bersama agensi kerajaan di peringkat negeri telah menunjukkan hasil yang positif dalam memperincikan keperluan untuk meningkatkan pendapatan isi rumah.

“ Usaha ini diharapkan mampu membantu mereka keluar daripada status miskin tegar,” katanya ketika berucap di Majlis Aspirasi Kepimpinan KSN bersama Anggota Perkhidmatan Awam Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim, di sini, hari ini.

Sementara itu, Shamsul Azri meminta agensi pelaksana perkhidmatan awam Persekutuan untuk terus bekerjasama dengan agensi pelaksana negeri Kelantan bagi memastikan kelancaran projek-projek berimpak tinggi, khususnya yang memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat.

"Sehingga 16 Dis 2024, secara keseluruhan terdapat 454 projek, termasuk 92 projek baharu yang diluluskan di bawah Rolling Plan Keempat (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

"Kelantan telah diluluskan peruntukan sebanyak RM2.8 bilion berdasarkan peruntukan asal Kementerian Kewangan (MOF) tahun 2024 dengan kos keseluruhan projek berjumlah RM25.9 bilion," katanya.

Beliau berkata prestasi perbelanjaan bagi projek pembangunan RP4 RMK-12 berdasarkan peruntukan asal MOF tahun 2024 adalah sebanyak 84.98 peratus, lebih rendah berbanding prestasi perbelanjaan peringkat nasional iaitu 88.22 peratus.

Menurutnya, sehingga kini, prestasi perbelanjaan bagi projek pembangunan Persekutuan di Kelantan agak memberangsangkan, namun masih memerlukan beberapa penyelesaian untuk mengatasi cabaran di peringkat prapelaksanaan projek.

"Antara isu pelaksanaan adalah kebenaran merancang, ketersediaan tapak projek, utiliti, demografi dan akses masuk," katanya.

Shamsul Azri berkata antara projek pembangunan Persekutuan yang memerlukan kerjasama daripada pihak negeri adalah Projek Lebuhraya Kota Bharu - Kuala Krai dan Lingkaran Tengah Utama, yang mana proses yang membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi kebanyakan pakej masih belum selesai.

Katanya, selain itu, ia turut melibatkan projek pembinaan fasiliti sukan untuk Sukan Malaysia (SUKMA) yang mana kerja tanah bagi pembangunan infrastruktur dan pembangunan jalan masuk utama Kompleks Sukan Bukit Merbau menggunakan peruntukan kerajaan negeri.

"Saya yakin bahawa dengan dedikasi dan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh penjawat awam di Kelantan, kita mampu mengatasi segala cabaran yang dihadapi.

"Projek pembangunan Persekutuan di Kelantan bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, tetapi juga sebagai bukti komitmen Kerajaan Persekutuan dalam membangunkan Kelantan agar setara dengan kemajuan yang dinikmati di seluruh negara," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan