AM > BERITA

Wan Junaidi, Isteri Tiba Di Pulau Pinang Bagi Lawatan Dan Percutian Rasmi

01/01/2025 09:59 PM

GEORGE TOWN, 1 Jan (Bernama) -- Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi hari ini tiba di Pulau Pinang sebagai sebahagian daripada lawatan rasmi.

Menurut hantaran di laman Facebook Wan Junaidi, ketibaan beliau bersama keluarga disambut Ketua Menteri Chow Kon Yeow, Timbalan Ketua Menteri 1 Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan pegawai kanan Kerajaan Pulau Pinang pada 12.55 tengah hari di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas, dekat sini.

“Sepanjang lawatan ini, Tun dan Toh Puan dijangka menyertai pelbagai program rasmi dan santai termasuk mengunjungi beberapa destinasi pelancongan ikonik di Pulau Pinang.

“Lawatan ini turut dilihat sebagai simbol hubungan erat antara Sarawak dan Pulau Pinang,” menurut hantaran itu.

Hantaran itu turut memaklumkan Wan Junaidi merakamkan ucapan penghargaan kepada Chow dan Kerajaan Pulau Pinang atas sambutan mesra serta layanan yang begitu baik kepada beliau serta rombongan.

Wan Junaidi bersama keluarga dan rombongan turut singgah di sebuah kedai nasi kandar yang dikenali sebagai antara destinasi ikonik makanan tempatan, yang disifatkan sebagai usaha beliau dan keluarga mendekati budaya serta keunikan kulinari Pulau Mutiara.

Sementara itu, Chow berharap lawatan tiga hari itu dapat mengeratkan silaturahim serta mengukuhkan lagi persahabatan sedia terjalin.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan