KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Perjuangan lebih 400,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang mendaftar bagi menduduki ujian bertulis di 3,000 pusat peperiksaan di seluruh negara, bermula hari ini.
Cuaca cerah pagi ini di kebanyakan negeri membantu melancarkan perjalanan calon untuk menghadiri ujian penting itu, walaupun terdapat beberapa kawasan di Kelantan, Johor dan Perak yang masih terkesan banjir.
Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan calon tiba awal untuk mendengar taklimat sebelum memasuki dewan peperiksaan bagi menduduki Kertas Bahasa Melayu 1, yang bermula tepat pada 8.15 pagi.
Di ibu negara, seramai 20,676 calon SPM menduduki peperiksaan bertulis di 160 pusat peperiksaan di Kuala Lumpur. Jumlah tersebut melibatkan 15,846 calon sekolah kerajaan, 238 calon sekolah agensi kerajaan, 2,626 calon sekolah swasta, dan 1,966 calon persendirian.
Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Megat Affandi Ismail berkata daripada jumlah itu, 110 merupakan calon berkeperluan pendidikan khas (CBPK) dalam pelbagai kategori.
"Kita juga menguruskan calon menduduki peperiksaan di hospital sekitar Kuala Lumpur yang mengalami masalah kesihatan melibatkan sembilan calon," katanya.
Di KELANTAN, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan negeri Datuk Mohd Zamri Abdul Aziz berkata peperiksaan berjalan lancar pagi ini melibatkan 27,017 calon di 284 pusat peperiksaan dengan dua daripadanya masih digenangi air paras 0.3 meter.
Pusat peperiksaan terlibat ialah Sekolah Menengah Ugama Arab (SMUA) Diniah dan SMUA Al-Falah di Rantau Panjang dengan masing-masing mempunyai 16 dan 48 calon.
Di TERENGGANU, Pengarah Pendidikan negeri Jelani Sulong mengesahkan tiada pusat peperiksaan terjejas banjir setakat ini, dengan seramai 18,612 calon menduduki ujian bertulis di 172 pusat peperiksaan di negeri itu.
"(Bagaimanapun) kita sentiasa bersedia untuk semua situasi termasuk jika ada sekolah dinaiki air atau jalan ke sekolah tidak boleh dilalui akibat banjir. Kita mempunyai sekolah alternatif yang boleh menempatkan pelajar terkesan," katanya.
Sementara itu di PUTRAJAYA, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya (JPWPP) Ezaiddin Hussain memaklumkan seramai 2,090 calon termasuk 10 CBPK mendaftar menduduki peperiksaan SPM di 11 pusat peperiksaan, selain dua daripada calon menduduki peperiksaan di Hospital Putrajaya.
Di SELANGOR, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Dr Jafri Abu berkata seramai 73,899 calon menduduki SPM di 494 pusat peperiksaan dengan kira-kira 7,651 petugas peperiksaan bertugas mengendalikan peperiksaan tersebut.
Sementara itu, JOHOR merupakan negeri kedua memiliki calon SPM paling ramai selepas Selangor iaitu seramai 49,980 calon termasuk 214 calon CBPK menduduki peperiksaan di 375 pusat peperiksaan.
Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan pada sidang media selepas melakukan tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Batu Pahat pagi ini, berkata 5,355 petugas bertugas pada peperiksaan itu di Johor.
Di PAHANG pula, Pengarah Pendidikan negeri Datuk Amzan Abd Malek memaklumkan seramai 20,401 calon menduduki ujian bertulis di 259 pusat peperiksaan dengan 104 CBPK yang melibatkan kategori kurang upaya penglihatan, pendengaran, pertuturan, fizikal dan masalah pembelajaran.
Di MELAKA, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka (JPNM) dalam kenyataan memaklumkan seramai 13,311 calon termasuk 70 calon CBPK menduduki peperiksaan bertulis SPM di 101 pusat peperiksaan.
Di NEGERI SEMBILAN, dua calon berusia lebih 60 tahun merupakan antara 16,929 calon SPM negeri itu, yang turut meliputi 804 calon persendirian yang menduduki peperiksaan tersebut di 145 pusat peperiksaan terdiri daripada sekolah dan hospital.
Pemangku Pengarah Pendidikan negeri Putra Hashim berkata jumlah calon itu meningkat enam peratus berbanding tahun sebelumnya, selain jumlah CBPK juga bertambah kepada 62 calon berbanding 31 calon pada SPM 2023.
Di PERAK, Pengarah Pendidikan negeri Safuan Raba’ai berkata seramai 31,705 calon termasuk 135 CBPK menduduki SPM di 323 pusat peperiksaan di seluruh negeri.
Sementara itu di PULAU PINANG, Pengarah Pendidikan Negeri Wan Sajiri Wan Hassan berkata seramai 19,255 calon menduduki SPM di 155 pusat peperiksaan yang turut membabitkan 1,738 petugas peperiksaan yang dilantik bagi kelancaran perjalanan peperiksaan.
Di KEDAH, Pengarah Pendidikan negeri Ismail Othman berkata 28,944 calon SPM 2024 termasuk 71 CBPK menduduki ujian di 264 pusat peperiksaan di negeri itu manakala bagi PERLIS, seramai 3,551 calon termasuk 22 CBPK mengambil peperiksaan itu di 36 pusat peperiksaan.
Di SARAWAK, Pengarah Pendidikan negeri Omar Mahli berkata tiada calon atau pusat peperiksaan yang terkesan banjir di negeri itu. Sebanyak 35,424 calon SPM, termasuk 146 calon berkeperluan pendidikan khas (CBPK), mengambil peperiksaan di 255 pusat peperiksaan.
"Meskipun tiada laporan banjir setakat ini, namun kita sudah bersedia dengan Op Payung, termasuk untuk memindahkan calon SPM jika pusat peperiksaan banjir," katanya.
Di SABAH, Pengarah Pendidikan negeri Datuk Raisin Sadin memaklumkan 39,548 calon menduduki ujian bertulis itu di 313 pusat peperiksaan dengan 2,425 calon ialah calon persendirian manakala 1,185 merupakan calon swasta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial