GEORGE TOWN, 2 Jan (Bernama) -- Zakat Pulau Pinang (ZPP) merekodkan jumlah kutipan lebih RM169.7 juta tahun lepas, meningkat lebih RM10 juta berbanding tahun sebelumnya.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata peningkatan jumlah itu membuktikan keyakinan rakyat khususnya umat Islam di Pulau Pinang terhadap pelan penstrukturan dan perubahan dilakukan oleh MAINPP termasuk terhadap ZPP yang telah dimulakan sejak 1 Mac 2024.
Beliau berkata Pelan Penstrukturan MAINPP 2024 melibatkan penstrukturan organisasi dan perubahan terhadap prosedur pentadbiran dan kewangan bagi menambah kecekapan pengurusan semaksimum mungkin melibatkan ZPP.
“Bagaimanapun, niat murni tersebut diambil kesempatan oleh pihak tertentu dengan cubaan menimbulkan persepsi negatif kononnya akan menjejaskan kutipan zakat diuruskan oleh ZPP.
"Tetapi alhamdulillah kutipan keseluruhan zakat Pulau Pinang yang berakhir pada 31 Dis 2024 adalah sebanyak RM169,779,622.08 iaitu peningkatan lebih RM10 juta berbanding kutipan zakat pada 2023,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang turut merakamkan penghargaan kepada pembayar zakat yang telah menunaikan kewajipan dan berharap kerjasama erat daripada semua pihak berkepentingan itu akan memberikan impak positif dalam meneruskan misi Agenda Pembangunan Agama Islam 2030 selari dengan visi Penang 2030.
Pada 2023, ZPP mencatatkan kutipan sebanyak RM159.7 juta merangkumi RM152.86 juta zakat harta dan RM6.84 juta zakat fitrah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial