AM > BERITA

Melaka Pantau Struktur Bangunan Merah Susulan Runtuhan Kecil

02/01/2025 12:59 PM

MELAKA, 2 Jan (Bernama) -- Kerajaan Melaka akan terus memantau struktur bangunan merah di sekitar Jalan Laksamana di sini susulan rasuk kayu di satu daripada deretan premis berusia ratusan tahun itu runtuh semalam.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata langkah itu bagi memastikan premis lain tidak terjejas dan pembaikan akan dilakukan mengikut prosedur ditetapkan pihak berkuasa.

"Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menerima laporan kejadian itu pada 12.30 tengah hari semalam dan ketika kejadian, premis Street Kitchen yang menjalankan perniagaan makanan tidak beroperasi dan tiada kecederaan melibatkan pelancong atau orang awam yang lalu-lalang di luar premis itu.

"Bagaimanapun kejadian itu amat membimbangkan dan mendukacitakan kerana melibatkan bangunan warisan yang merupakan aset pelancongan negeri yang perlu dipelihara dan dipulihara," katanya kepada pemberita di sini malam tadi. 

Beliau berkata demikian selepas Majlis Apresiasi Pengayuh Beca Negeri Melaka 2025 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan turut dihadiri Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman.

Rais berkata kejadian dipercayai berlaku ekoran gegaran disebabkan kapasiti kenderaan yang banyak melalui jalan berkenaan khususnya pada hujung minggu dan cuti panjang sekali gus memberi kesan pada struktur bangunan lama itu yang kebanyakannya tidak mempunyai struktur binaan yang kukuh dan standard.

Beliau berkata justeru, pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan yang sedang dijalankan di kawasan terlibat merupakan satu daripada usaha penting bagi memelihara bangunan daripada kerosakan akibat gegaran kenderaan.

"Kita beruntung kerana hanya dua negeri mempunyai bangunan warisan diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) iaitu Melaka dan Pulau Pinang.

"Jadi, kerajaan negeri bercadang menjadikan kawasan sekitar tapak warisan berkenaan khususnya di Banda Hilir sebagai Zon Bebas Kenderaan kekal dan berharap rakyat memahami kepentingan pelaksanaannya," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan