AM > BERITA

Pengetua, Pihak Sekolah Diingatkan Tidak Sembunyi Sebarang Kejadian Buli - Fadhlina

02/01/2025 02:09 PM

PUTRAJAYA, 2 Jan (Bernama) -- Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengingatkan pengurusan sekolah khususnya pengetua, guru besar dan guru pentadbir, agar tidak menyembunyikan kejadian buli dalam kalangan pelajar.

Beliau berkata tiada kompromi terhadap kes buli dalam sekolah dan semua aduan daripada ibubapa, pelajar dan sekolah akan dipandang serius.

Katanya, setiap aduan kes buli di sekolah perlu disalurkan melalui portal Aduan Buli yang diselia Kementerian Pendidikan (KPM) agar penyelesaian berhemah dan siasatan yang telus dapat dilaksanakan mengikut garis panduan pengendalian kes buli.

"Saya mengingatkan sekolah, khususnya pengetua, guru besar, dan guru-guru pentadbir supaya jangan menyembunyikan kejadian ini (buli). Kita minta agar ia diselesaikan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata sebarang tindakan melalui proses itu akan diserahkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat ketidakpuasan terhadap cara pengurusan sekolah menangani aduan berkaitan buli.

Fadhlina berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar hari ini yang mendedahkan kes buli yang masih berlaku di sebuah sekolah berasrama penuh.

Dilaporkan pelajar senior membuli junior dengan mengenakan denda keterlaluan, seperti diarah melakukan aksi commando rest selama dua jam dan dipaksa untuk bogel beramai-ramai.

Fadhlina turut berkata pengurusan sekolah termasuk pengetua adalah tidak wajar mempersoalkan tindakan ibu bapa yang membuat aduan mengenai kes buli.

"Kenapa pula pengetua mempersoalkan perkara ini? Saya rasa itu adalah hak ibu bapa jika mereka merasakan anak mereka tidak mendapat keadilan dalam konteks siasatan dan aduan.

"Ibu bapa berhak untuk melanjutkan aduan (buli) tersebut ke peringkat yang lebih tinggi termasuk pihak berkuasa dan KPM. Jadi, saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa kita tidak akan berkompromi dan akan mengambil semua aduan baik (dari) ibu bapa, pihak sekolah, mahupun anak (mangsa) itu sendiri," katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan