KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Larangan merokok di beberapa kawasan dan premis termasuk di tempat kerja swasta yang berkuat kuasa semalam, merupakan tindakan tepat dan strategik dambil kerajaan berlandaskan prinsip kesihatan awam sejagat.
Pengerusi Program Segar dan Perkhidmatan Berhenti Merokok, Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Datuk Kaswuri Keman berkata mereka teguh menyokong dasar itu dan menyeru semua pihak untuk melihatnya sebagai langkah ke depan demi generasi lebih sihat dan bebas ancaman merokok.
“Dasar ini bukanlah pelanggaran hak, tetapi adalah dasar yang mementingkan kesejahteraan rakyat secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kaswuri berkata larangan itu juga selaras dengan komitmen Malaysia di peringkat global terhadap Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO FCTC) di bawah Artikel 8 yang menyatakan perlindungan kepada pendedahan asap rokok di tempat kerja tertutup, pengangkutan awam, tempat awam tertutup dan dan tempat awam lain.
Turut senada ialah Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) yang melihat inisiatif itu bukan sahaja melindungi kesihatan pekerja, tetapi juga menyumbang secara signifikan kepada kesejahteraan masyarakat dan generasi akan datang.
Penyelaras Kawalan Tembakau atau Inisiatif @SmokeFreeMY FOMCA Muhammad Sha’ani Abdullah berkata larangan itu penting kerana kajian Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) dan Surgeon General Amerika Syarikat (AS) mendapati tiada tahap pendedahan kepada asap rokok basi (secondhand smoke) yang selamat.
Kajian itu menurutnya, turut menganggarkan lebih 27,200 kematian di Malaysia setiap tahun adalah disebabkan tembakau.
“Data di Malaysia menunjukkan penguatkuasaan larangan itu adalah sangat penting dalam meningkatkan kualiti udara dalaman, melindungi kesihatan pekerja dan mengurangkan kos penjagaan kesihatan yang berkaitan dengan penyakit akibat asap rokok,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, beliau berkata FOMCA menyeru semua majikan memastikan bangunan tempat kerja bebas asap rokok sepenuhnya dan pihak berkuasa meningkatkan pemantauan serta penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan terhadap larangan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial