KUALA NERUS, 2 Jan (Bernama) -- Seramai 153 graduan berjaya menamatkan latihan Program Pemerkasaan Tenaga Teknikal (TEP) di Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP) di sini hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif INSTEP Mohamad Nasir berkata program prapekerjaan penajaan selama 10 bulan itu dibiayai oleh Unit Operasi Petronas dan Sarawak Shell Bhd (SSB).
Beliau berkata program berkenaan menggabungkan pendekatan latihan yang komprehensif dengan pembelajaran gabungan, temu bual kecekapan teknikal, lawatan kilang dan bengkel teknikal lanjutan.
"Seramai 129 graduan ditaja oleh Unit Operasi Petronas manakala 24 lagi di bawah SSB. Kesemua graduan memulakan latihan pada Mac 2024 dan tamat Disember lepas.
"INSTEP kekal teguh dengan misinya untuk melahirkan tenaga kerja mahir bagi memenuhi keperluan Petronas dan tenaga global," katanya pada majlis penutup TEP di INSTEP di sini hari ini.
Sementara itu, seorang graduan Muhammad Adlan Hidayat Mohd Sabri, 25, dari Cheneh Baru, Kemaman berkata beliau amat bersyukur kerana berjaya mendapat pekerjaan tetap setelah tiga tahun menganggur.
Muhammad Adlan berkata sebelum mengikuti kursus, beliau hanya membantu ibunya Normah Abdullah, 53, yang berniaga kedai makan secara kecil-kecilan setelah bapanya Mohd Sabri Husain meninggal dunia akibat penyakit buah pinggang empat tahun lepas.
"Di kalangan empat beradik, saya boleh lah dianggap sebagai anak harapan kerana belajar lebih tinggi iaitu di peringkat diploma dalam bidang kejuruteraan di Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
"Tetapi selepas tamat belajar 2021 lepas, saya gagal mendapat pekerjaan sesuai kerana keadaan ekonomi tidak menentu selepas COVID-19," katanya yang akan mula bertugas di Petronas Gas GPP 5&6 di Santong, Paka pada 16 Januari ini.
Seorang lagi graduan Muhammad Arif Rusydi Mezah, 23, dari Kampung Tepoh, Kuala Nerus berkata program itu memberi peluang kepada golongan B40 sepertinya mendapatkan peluang kerja lebih baik demi masa depan yang cerah.
Muhammad Arif Rusydi berkata beliau berazam untuk membantu kedua-dua ibu bapanya menikmati kehidupan lebih selesa di masa akan datang.
"Selepas tamat pelajaran di peringkat Diploma dalam bidang Kejuruteraan Sivil di Politeknik Sultan Mizan, Dungun, saya hanya buat kerja kampung dan bekerja di kedai cuci kereta kerana tidak ada peluang lebih baik. Sekarang Alhamdulillah saya sudah ditawarkan pekerjaan dengan gaji yang baik dan berjanji untuk memberi kesenangan kepada ibu dan ayah dengan ayah saya kini masih bekerja sebagai pemandu lori pada usia 68 tahun," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial