KOTA BHARU, 2 Jan (Bernama) -- Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menerusi Institut Kecerdasan Buatan dan Data Raya (AIBIG) membangunkan platform repositori data yang dikenali sebagai PolarBytes bagi kajian penyelidikan perubahan iklim di kawasan Artik dan Antartika.
Pengarah AIBIG UMK Dr Muhammad Akmal Remli berkata platform data PolarBytes dibangunkan dengan kerjasama pintar antara AIBIG UMK dan Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) dengan data kajian penyelidikan ini boleh diakses melalui https://polarbytes.umk.edu.my/.
"Platform ini berfungsi sebagai pusat penyimpanan data awam dengan fokus khusus kepada data yang merangkumi empat bidang utama iaitu Biodiversiti, Klimatologi, Penyakit dan Biologi Molekul.
“Kajian penyelidikan ini penting dengan matlamat utama untuk memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan Big Data dalam menganalisis serta mengakses data kutub dengan lebih sistematik dan efisien," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata platform itu menyediakan akses percuma kepada set data kutub yang telah disusun secara teratur, sekali gus mempercepatkan proses pembelajaran dan penyelidikan dalam kalangan institut penyelidikan ataupun Institut Pengajian Tinggi (IPT) di peringkat antarabangsa.
Muhammad Akmal menyatakan platform itu bertujuan memudahkan pembelajaran dan penyelidikan berkaitan data sains dan AI di Antartika seperti perubahan iklim, biologi molekul serta ramalan kehadiran bakteria mikro dalam spesimen di kawasan berkenaan.
“PolarBytes dihasilkan untuk mengumpulkan data sains kutub dalam satu lokasi bagi memudahkan akses serta menjimatkan masa dan tenaga para penyelidik, malah setiap data yang dimuatkan dalam platform ini telah menjalani proses semakan kualiti dan kesahihan melalui teknologi Pembelajaran Mesin.
"Platform ini turut menyediakan fungsi penggambaran data bertujuan membantu pengguna menganalisis dan memahami maklumat yang terkandung dengan lebih berkesan," katanya.
Muhammad Akmal menerajui AI, Big Data, Pembelajaran Mesin, PolarBytes, dan pihaknya juga menyediakan Application Programming Interfaces (APIs) untuk kegunaan pembangunan perisian serta penyelidikan dan memudahkan proses integrasi data ke dalam sistem sedia ada tanpa memerlukan kemahiran teknikal yang kompleks.
Beliau berkata PolarBytes adalah platform repositori data sains kutub pertama yang menyediakan APIs, sekali gus menjadi platform yang komprehensif dan mesra pengguna.
“Inisiatif AIBIG UMK dalam membangunkan PolarBytes mencerminkan komitmen institut, felo penyelidik, dan pembantu penyelidik dalam memacu kemajuan teknologi AI, Big Data, dan Pembelajaran Mesin demi manfaat pendidikan serta penyelidikan global.
“Dengan menyediakan akses percuma kepada data berkualiti tinggi, PolarBytes bukan sahaja menyokong penyelidikan sains kutub, tetapi turut membuka peluang kepada inovasi baharu serta menyumbang kepada pembuatan keputusan lebih bermaklumat dalam bidang sains kutub,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial