PASIR MAS, 2 Jan (Bernama) -- Banjir yang belum surut di beberapa kampung di sini membawa rezeki kepada penduduk apabila ribuan anak ikan 'menyerah diri' di perkampungan mereka sejak beberapa hari lepas.
Kawasan di sepanjang jalan Kampung Siram, di sini bagaikan pesta apabila penduduk mengambil peluang menyauk ikan, sekali gus memberi peluang kepada mereka meraih pendapatan sampingan.
Penduduk kampung itu, Zaidi Mat Yatim, 47, berkata anak ikan berkenaan mula 'berkumpul' di beberapa pintu air di situ selepas paras air banjir mulai menurun.
"Semalam saya bersama anak berjaya mengumpulkan kira-kira 80 kilogram pelbagai spesies anak ikan yang kemudiannya terus dijual di tepi jalan pada harga RM5 untuk 500 gram.
"Hari ini kami teruskan pencarian kerana jualan mendapat sambutan menggalakkan daripada pengguna jalan raya di kawasan ini," katanya kepada Bernama hari ini.
Zaidi berkata ikan diperoleh termasuk seluang, lampam, lambak, sederang dan setali.
Ikan berkenaan sesuai dimasak pais iaitu diperap dengan serbuk kunyit, garam dan sedikit bahan perasa tambahan sebelum dibakar dalam daun kunyit atau daun pisang.
Umar Che Hamat, 70, pula berkata dia turut mengambil kesempatan menangkap anak ikan hari ini selepas mendapati ramai penduduk meraih pendapatan daripada aktiviti itu.
"Kaedah tangkapan sangat mudah iaitu cuma perlu sauk menggunakan jaring dan hasilnya juga banyak menyebabkan saya teruja untuk turut serta.
"Walaupun tidak sebanyak orang lain, hasil jualan ikan ini membolehkan saya menukarnya dengan beras dan gula bagi kegunaan musim tengkujuh," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial