AM > BERITA

Nahas KM204: Dua Beradik Yatim Piatu Terima Sumbangan YaPEIM

02/01/2025 07:55 PM

BANGI, 2 Jan (Bernama)  -- Dua beradik yatim piatu selepas ibu bapa mereka terkorban nahas jalan raya di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di Melaka pada 23 Dis, menerima sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) hari ini.

Sumbangan berjumlah RM6,900 itu disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, yang menziarahi Muhammad Uwais Al-Qarni Khairul Ikhwan, 7, dan Nur Sofea Humaira, 4, yang kini berada dalam jagaan datuk mereka.

“Sumbangan yang merangkumi bantuan Sinar Kasih sebanyak RM4,800 iaitu RM200 setiap bulan selama setahun untuk setiap seorang, sumbangan bencana RM2,000 dan set Foodbank YaPEIM bernilai RM100 disampaikan kepada datuk mereka.

“Semoga sumbangan ini dapat meringankan beban khususnya kepada datuk mereka yang mengambil tanggungjawab penuh menjaga dua beradik itu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Tunai dan Sumbangan Sinar Kasih kepada dua beradik tersebut di kediaman datuk mereka di sini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ketua Pengarah YaPEIM Ameer Ali Vali Mohamed.

Mohd Na’im turut mendoakan Datuk Mazupi Abdul Rahman, 64, yang merupakan bekas pegawai kanan polis dikurniakan kesihatan yang baik untuk terus menjaga dua cucunya.

Sementara itu, Mazupi berkata keluarganya bersyukur dan berterima kasih dengan keprihatinan pelbagai pihak yang tampil membantu dua beradik itu, selain menzahirkan penghargaan kepada pasukan perubatan di Hospital Melaka yang merawat mereka sebelum ini.

Beliau berkata dua beradik itu begitu sedih sehingga perlu ditenangkan ahli keluarga, selepas dimaklumkan mengenai pemergian ibu bapa, Khairul Ikhwan Mazupi, 32, dan Fadzlenna Ramli, 32, serta adik bongsu mereka Muhammad Umar, dua tahun, dalam kemalangan yang melibatkan lima kenderaan itu.

“Mereka ada mengajak saya untuk menziarahi kubur, tetapi saya beritahu tidak boleh lagi kerana perlu tunggu (mereka) sihat. Insya-Allah saya akan bawa nanti,” katanya.

Kemalangan pada 8.40 malam 23 Dis yang berpunca daripada tayar sebuah lori tercabut turut mengorbankan datuk dan nenek sebelah ibu kanak-kanak itu, iaitu Ramli Ab Wahab, 66, dan Fauziah Jaafar, 69, selain pemandu bas persiaran Noorisnien Khamid, 56, serta penumpang warga Singapura Lamrah Asid Ali, 66 tahun.

Kemalangan juga menyebabkan dua beradik itu cedera dan dirawat di Hospital Melaka, sebelum dibenarkan keluar pada 28 Dis.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan