AM > BERITA

Kerja Baik Pulih Cerun Taman Bukit Berlian Siap Sepenuhnya, Libatkan Kos RM2.5 Juta

02/01/2025 08:07 PM

SEREMBAN, 2 Jan (Bernama) -- Sejumlah RM2.5 juta daripada peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) telah digunakan untuk kerja membaik pulih cerun di Taman Bukit Berlian, Lobak dekat sini yang siap sepenuhnya pada 9 November lepas.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS) Datuk Masri Razali berkata kerja pembaikan cerun itu bermula 11 Disember 2023 susulan kejadian tanah runtuh berlaku di kawasan berkenaan yang diisytiharkan sebagai kawasan bencana pada tahun 2022.

"Satu lagi projek MARRIS yang siap sepenuhnya ialah membaiki tebing longkang di kawasan perindustrian Tasik Jaya, Senawang pada 12 November lepas dengan kos RM1.1 juta," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Projek MBS kepada komuniti di Senawang di sini hari ini. 

Dalam pada itu, Masri berkata MBS juga menyediakan peruntukan RM1.8 juta bagi pembinaan enam pusat komuniti melibatkan Taman Kemuning, Taman Ixora, Taman Alamanda, Taman Shahbandar, Taman Lily yang telah siap sepenuhnya dengan Taman Sri Pulai masih dalam pembinaan.

Masri berkata bagi program hari ini, pembinaan Pusat Komuniti di Taman Kemuning, Senawang melibatkan kos RM317,548 untuk kegunaan masyarakat setempat.

Beliau berkata penduduk setempat juga menerima gelanggang futsal bernilai RM181,014 yang dibiayai Kementerian Ekonomi melalui Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR). 

"Kedua-dua kemudahan ini merupakan sebahagian daripada usaha pihak berkuasa tempatan untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Kemuning Shahrim Simin,62, berkata pihaknya berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana dapat menyediakan pusat komuniti bagi kegunaan penduduk setelah permohonan dibuat pada 2019.

"Sebelum ini kami hanya bermesyuarat di dalam kabin atau diluar sahaja, tiada tempat sesuai untuk AJK dan komuniti di sini melakukan aktiviti.

"Dengan adanya pusat komuniti ini, dapatlah kami manfaatkan sepenuhnya dengan melaksanakan pelbagai aktiviti bermasyarakat selain merapatkan ukhwah antara satu sama lain dengan lebih baik," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan