AM > BERITA

Penjawat Awam Muda Perlu Diberi Latihan, Pendedahan Bidang Teknikal - PM Anwar

03/01/2025 11:44 AM

PUTRAJAYA, 3 Jan (Bernama) -- Penjawat awam khususnya golongan muda perlu diberikan pendedahan maksimum dan latihan dalam bidang kritikal seperti kecerdasan buatan (AI) serta peralihan tenaga bagi memperkukuh kecekapan mereka, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pendekatan berkenaan bukan sahaja dapat memastikan golongan muda memahami aspirasi Kerajaan MADANI, tetapi juga melengkapkan mereka dengan latihan yang relevan untuk menghadapi cabaran semasa.

“Saya telah sebut bahawa ruang untuk memberi latihan dan peluang kepada penjawat awam terutamanya dalam kalangan muda harus diberikan sepenuhnya.

“Saya mahu dalam masa beberapa tahun, keupayaan kita mengatasi konsultan-konsultan (luar) yang ada, apa yang kurang pada penjawat awam? Latihan, kecekapan dan kekuatan saudara berbeza daripada kerangka teoretikal," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini yang dihadiri lebih 1,000 penjawat awam.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Selain itu, Perdana Menteri juga mahu penjawat awam negara ini menjadi contoh perkhidmatan yang terbaik dalam kalangan negara berkembang.

Perdana Menteri berkata prestasi perkhidmatan awam yang efisien turut mendapat perhatian negara luar seperti Peru dan Mesir apabila kedua-dua negara itu menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam beberapa aspek.

“Di Peru baru-baru ini, Presiden Peru Dina Ercilia Boluarte Zegarra menyatakan beliau mahu bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana beliau melihat begitu kencang, hebat dan berani terhadap beberapa tindakan yang diambil.

“Di Mesir, terdapat permintaan daripada Presiden Abdel Fattah El-Sisi supaya hubungan dan kerjasama dengan perkhidmatan awam itu ditingkatkan kerana beliau mengikuti perkembangan dan melihat cara dan kaedah pentadbiran di negara kita,” katanya.

Anwar dalam pada itu turut mengingatkan agar semua ketua setiausaha kementerian dan ketua pengarah di setiap jabatan tidak sekadar meneruskan tugas sedia ada, sebaliknya mencari kaedah baharu yang lebih inovatif dalam meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam.

Beliau menegaskan perubahan yang signifikan hanya dapat dicapai menerusi semangat kecintaan terhadap tugas dan sentiasa kekal berusaha untuk memperbaiki sistem.

“Mesti cari kaedah baharu, tidak hanya berpuas hati, yang disebut budaya selesa, ketimbang mana, berbanding siapa, tahun bila, negara mana, dan apakah kebaikan (contoh yang harus dipelajari) itu boleh melonjak kekuatan kita sebagai suatu negara besar yang terkenal,” katanya.

Dalam konteks berkenaan, Perdana Menteri memberi contoh mengenai kelulusan yang sebelum ini mengambil masa berbulan-bulan kini dipendekkan kepada beberapa minggu, bagaimanapun berharap agar proses itu dapat dipercepat kepada hanya satu minggu.

Selain itu, Anwar juga menekankan perlunya transformasi digital dalam memperbaiki proses perkhidmatan awam terutamanya dalam urusan seperti pembaharuan lesen.

“Rakyat tidak perlu lagi beratur berjam-jam atau mengambil cuti untuk urusan tersebut, sebaliknya proses boleh dilakukan secara digital dengan lebih mudah dan pantas,” kata Perdana Menteri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan