NARATHIWAT (Thailand), 3 Jan (Bernama) -- Seramai 30 banduan Malaysia di Penjara Narathiwat di sini adalah antara yang diberi peluang mengikuti kelas khas bahasa Thailand sebagai sebahagian daripada inisiatif pihak penjara berkenaan, bagi membolehkan mereka menguasai bahasa baharu, sesuatu yang mungkin tidak pernah terlintas untuk dipelajari mereka sebelum ini.
Pakar Pengurusan Jenayah (Bahagian Wanita) Penjara Narathiwat, Panata Yononarongdetkul berkata banduan Malaysia di sini yang terdiri daripada 23 lelaki dan tujuh wanita, merupakan sebahagian daripada 'pelajar' kelas khas bahasa Thailand.
"Melalui kelas bahasa khas yang dikendalikan pegawai penjara berkemahiran, mereka mempelajari bahasa Thailand seperti menulis, membaca dan berkomunikasi, selain turut diajar untuk melihat kehidupan dengan perspektif lebih positif dan membina.
"Kelas ini bertujuan memperkenalkan asas komunikasi harian seperti sapaan, perbualan ringkas dan istilah penting yang dapat membantu mereka mengenali masyarakat tempatan dengan lebih baik," katanya kepada beberapa wartawan dari Malaysia melalui penterjemah, ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Selain rakyat Malaysia, kelas khas bahasa Thailand itu turut disertai banduan dari negara luar yang lain.
Panata berkata setiap kelas dilaksanakan dalam suasana kondusif, dengan banduan diberi peluang untuk berinteraksi secara aktif dalam mempelajari kosa kata harian, menyusun ayat asas dan memahami struktur bahasa Thailand.
Beliau berkata kelas itu bukan sekadar inisiatif pembelajaran, tetapi juga merupakan sebahagian daripada strategi pemulihan, selain membuka peluang kepada banduan memperbaiki diri dan membina hubungan lebih baik dengan komuniti tempatan dalam penjara.
Sementara itu Pengarah Penjara Wilayah Narathiwat Supt Surin Chantep pula ketika ditemui berkata pihaknya menggalakkan orang ramai untuk menyumbang pakaian tradisional seperti jubah, baju Melayu, tudung dan baju kurung buat banduan warga Muslim Malaysia, dan juga dari negara lain.
Menjelang ketibaan bulan Ramadan dan disusuli dengan Syawal, beliau berkata sumbangan itu akan membolehkan banduan berkenaan turut sama merasai kemeriahan sambutan, meskipun mereka terpisah dari dunia luar dan hanya dapat menyambutnya di sebalik tirai besi.
"Penjara ini menghadapi kekurangan pakaian tradisional untuk banduan, terutama bagi mereka yang memerlukan pakaian khas untuk menyambut perayaan dan melaksanakan ibadah dengan lebih sempurna.
"Kekurangan pakaian ini lebih dirasai oleh banduan Muslim yang membentuk majoriti penghuni penjara, termasuk sejumlah banduan rakyat Malaysia yang juga sedang menjalani hukuman di penjara ini," katanya kepada media Malaysia menerusi penterjemah.
Surin berkata bagi banduan yang jauh daripada keluarga, sumbangan pakaian seperti ini akan menyuntik semangat untuk menjalani kehidupan dengan lebih positif dan membawa keceriaan, terutamanya ketika mereka sedang menjalani ibadah puasa dan membuat persiapan menyambut aidilfitri.
Surin berkata orang ramai yang berminat untuk menyumbang pakaian boleh menghantarnya terus ke Penjara Wilayah Narathiwat atau menghubungi pihak penjara bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai cara-cara penghantaran sumbangan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial