KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Firma perkhidmatan profesional, KPMG di Malaysia telah melantik Foong Mun Kong sebagai rakan kongsi pengurusan baharunya berkuat kuasa 1 Januari, 2025.
Perlantikan berkenaan menandakan peralihan kepimpinan yang bertujuan memacu pertumbuhan berterusan dan kehadiran pasaran firma tersebut.
KPMG dalam satu kenyataan hari ini berkata Foong Mun Kong menggantikan Datuk Johan Idris yang memegang jawatan sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif ketika ini.
“Foong mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam audit dan jaminan, sebelum ini beliau pernah memegang jawatan Ketua Audit KPMG,” kata kenyataan itu.
KPMG berkata Foong memegang peranan penting dalam industri perakaunan termasuk memegang jawatan naib presiden Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA) dan ahli majlis Institut Akauntan Malaysia (MIA).
Mengulas mengenai pelantikannya, Foong berkata ia adalah satu penghormatan untuk menerajui KPMG di Malaysia dan bekerja bersama pasukan berdedikasi dan hebat.
“Bersama-sama, kita mempunyai pasukan mantap untuk menghasilkan kualiti, integriti dan kepercayaan yang mentakrifkan dan membentuk KPMG untuk memberikan nilai jangka panjang dan impak positif kepada pelanggan dan komuniti,” katanya.
Kepimpinan Foong akan disokong oleh Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) firma itu dan barisan pemimpin utama.
Pasukan EXCO itu termasuk Pengurusan Risiko dan Etika serta Rakan Kongsi Bebas Mok Wan Kong, Ketua Bahagian Cukai Soh Lian Seng, Ketua Audit Thong Foo Vung, Ketua Pegawai Operasi dan Ketua Sumber Manusia Eric Ong serta Ketua Pegawai Kewangan dan Ketua Pasaran Vengadesh Jogarajah.
Sementara itu, Johan berkata peralihan itu menandakan permulaan lembaran baharu yang menarik untuk KPMG di Malaysia.
“Berdasarkan asas kukuh yang telah kita susun dan berpandukan komitmen terhadap kualiti dan kepercayaan, saya yakin KPMG akan terus mencatat kejayaan,” katanya.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial