AM > BERITA

Imigresen Serbu Pusat Hiburan Mewah Tawar Khidmat GRO, Tahan 123 Pendatang Tanpa Izin

04/01/2025 05:52 PM

KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) -- Jabatan Imigresen menahan 123 pendatang tanpa izin terdiri daripada 54 lelaki dan 69 wanita dalam serbuan di sebuah pusat hiburan mewah di Jalan Sultan Ismail di sini tengah malam tadi.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata serbuan dilakukan selama tiga jam bermula pukul 12.15 tengah malam di premis dua tingkat yang menawarkan perkhidmatan gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing dengan bayaran antara RM100 hingga RM5,000.

Beliau berkata mereka yang ditahan terdiri daripada pengunjung, pekerja, selain wanita yang disyaki GRO serta penari membabitkan warga China, Korea, Singapura, Vietnam, Thailand dan Sierra Leone.

Pemeriksaan lanjut di pusat hiburan mewah yang menempatkan kelab malam dan karaoke KTV itu turut menemukan kalung selempang yang dijadikan sebagai tip kepada GRO bernilai RM100 hingga RM5,000; dan difahamkan bayaran harga bilik KTV di pusat berkenaan adalah RM5,000 hingga RM8,000.

“Antara kesalahan dikesan ialah tiada dokumen sah, salah guna syarat pas dan tinggal lebih masa selain majikan yang melindungi serta menggajikan PATI. Tindakan diambil mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, “ katanya kepada pemberita di lokasi serbuan, di sini awal pagi tadi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan