AM > BERITA

NRES Pantau Projek Ladang Di Hutan Simpan Rimba Teloi

07/01/2025 06:55 PM

ALOR SETAR, 7 Jan (Bernama) -- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mengadakan lawatan bagi memantau projek pembangunan ladang hutan di Hutan Simpan Rimba Teloi, Sik, semalam.

NRES dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan lawatan itu turut disertai Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Hutan Simpan Rimba Teloi yang berkeluasan 33,148.95 hektar telah diwartakan oleh pihak berkuasa negeri Kedah pada 10 Mei 1953. Kompartmen 66 dan 67 Hutan Simpan Rimba Teloi pula telah dizonkan sebagai kawasan pembangunan ladang hutan di negeri ini.

“Kawasan itu telah diluluskan untuk pembangunan ladang hutan oleh kerajaan negeri pada 2015. Berdasarkan taklimat yang diberikan, sebanyak 13 kawasan pembangunan ladang hutan telah diluluskan di dalam kawasan Hutan Simpan Rimba Teloi dengan keluasan 4,085 hektar sejak 2014 hingga 2020,” menurut kenyataan itu.

NRES memaklumkan bagaimanapun pada masa ini, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah telah memberhentikan sementara kerja-kerja pembangunan ladang hutan di kawasan Kompartmen 66 dan 67 sehingga mendapat kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

Menurut kementerian itu, bermula 2021 kerajaan Kedah tidak lagi meluluskan kelulusan baharu pembangunan ladang hutan di dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Kedah.

Perkara itu selaras dengan keputusan Majlis Tanah Negara ke-79 berhubung moratorium bagi kelulusan baharu penubuhan ladang hutan dalam HSK di Semenanjung Malaysia.

“Aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan turut dijalankan dari semasa ke semasa oleh Jabatan Perhutanan Kedah bersama agensi teknikal lain, seperti JAS, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bagi memastikan pihak pemaju sedia ada mematuhi peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu, NRES memberitahu bagi pengurusan hidupan liar pula, pihaknya melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah memasang papan tanda LED gajah sebagai usaha mengurangkan kadar kematian hidupan liar di jalan raya yang semakin membimbangkan.

“Ia bukan sahaja memberi amaran akan kehadiran hidupan liar, tetapi juga sebagai peringatan kepada pengguna jalan raya untuk lebih peka dan bertanggungjawab ketika memandu.

“Hingga kini, Perhilitan telah memasang satu unit papan tanda LED di Jalan Raya K13, Empangan Pedu–Gubir, Sik dan satu lagi unit di Jalan Raya Timur–Barat (JRTB), Gerik berhampiran dengan perkampungan Orang Asli Air Banun, Perak,” menurut NRES.

Lawatan pemantauan itu telah memberi peluang kepada semua pihak berkepentingan yang terlibat untuk meninjau sendiri pelbagai inisiatif yang sedang dilaksanakan bagi memastikan keseimbangan antara pembangunan dengan kelestarian alam dapat dicapai.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan