PORT DICKSON, 8 Jan (Bernama) -- Kerajaan melalui peruntukan pembangunan (DE) di bawah belanjawan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Rolling Plan Ke-5 (RP5) 2025 meluluskan sebanyak RM431 juta melibatkan 70 projek sambungan dan 41 projek baharu kepada Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan Dan Pembangunan) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Datuk Mohamad Azhan Md Amir berkata peruntukan itu diberikan bagi menyokong aspirasi pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.
Beliau berkata kelulusan ini melibatkan projek pembangunan kampus baharu, perolehan tanah bagi kampus baharu, perolehan peralatan baharu, penggantian peralatan akademik usang, pembinaan tambahan bangunan, kerja menaik taraf infrastruktur dan bangunan, pembangunan program serta pembangunan digital bagi Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) seluruh negara.
"Selain peruntukan pembangunan TVET terdapat juga peruntukan RM41.6 juta bagi projek naik taraf termasuk projek usang yang akan dilaksanakan membabitkan 36 politeknik dan 106 kolej komuniti.
“Terdapat juga peruntukan RM5 juta bagi pembangunan infra mesra bagi Orang Kurang Upaya di setiap bangunan politeknik dan kolej komuniti bagi memastikan tiada pelajar terpinggir sekali gus menyediakan persekitaran kondusif buat pelajar istimewa ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Surat Permakluman Projek RMK12 RP5 Tahun 2025 dan Pelancaran Rancangan Pembangunan PolyCC 10 Tahun (2026-2035) di Politeknik Port Dickson di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad Azhan berkata pelaksanaan Rancangan Pembangunan PolyCC 10 Tahun (2026-2035) ini ialah langkah penting untuk menjadikan Politeknik dan Kolej Komuniti sebagai pusat kecemerlangan TVET bertaraf dunia melalui Rancangan Utama iaitu '9 Big Plans'.
Beliau berkata, fokus ' 9 big plans' ini merangkumi perancangan holistik iaitu memberi tumpuan kepada pembangunan program TVET yang mampan, penyediaan ruang baharu kondusif, perolehan peralatan bagi menyokong perkembangan teknologi terkini, dan pembangunan kompetensi pensyarah.
"Selain itu, melalui pelan ini juga kita akan menyediakan platform tersusun dalam aktiviti penyelidikan, pembangunan, inovasi bagi menyokong pembangunan ekonomi mampan tanpa memberi kesan negatif kepada kesihatan bumi.
"Rancangan itu juga membuktikan komitmen JPPKK dalam memastikan POLYCC terus kekal relevan, mampu bersaing, dan memenuhi keperluan industri yang semakin mencabar, khususnya dalam bidang baharu seperti kecerdasan buatan (AI), digital, minyak dan gas serta sebagainya," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial