AM > BERITA

Penggunaan Teknologi Sektor Pertanian Perlu Diperluas Tangani Isu Keselamatan Makanan

08/01/2025 08:08 PM

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Penggunaan teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI) dan analisis data perlu diperluas dalam sektor pertanian bagi menyelesaikan isu keselamatan makanan di negara ini.

Pengarah Pembangunan Perniagaan REDtone Redza Imran Abdul Rahim turut mencadangkan agar kerajaan menggubal dasar yang memudahkan petani mengadaptasi teknologi baharu seperti pertanian dan sistem pengairan pintar dengan cepat.

“Terdapat banyak data tersedia daripada kerajaan, dan secara keseluruhan negara kita telah mengumpul pelbagai data pertanian seperti soil basicity, hasil tanaman, penggunaan sumber (termasuk jumlah baja dan paras air) dan data ladang di kawasan yang mudah dilanda banjir.

“Hampir setiap bulan atau lebih kami mendengar tentang ladang rosak akibat banjir tetapi data itu boleh digunakan untuk membantu mengenal pasti kawasan berisiko tinggi dan merangka pelan mitigasi terbaik, termasuk menyalurkan bantuan kewangan atau mencadangkan lokasi lebih sesuai untuk mengusahakan ladang,” katanya.

Beliau ditemui selepas menjadi panel dalam dialog ‘Harnessing Technology for Food Security: Advancing Solutions for Global Challenges’ pada Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2025 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di sini hari ini.

Redza berkata petani perlu lebih terbuka untuk menerima teknologi bagi menghadapi perubahan sektor pertanian yang sentiasa berkembang, khususnya dalam era pasca-COVID-19.

“Perlu ada perubahan sikap, sekurang-kurangnya dari segi kesedaran dalam kalangan petani. COVID-19 telah menjadikan lebih sukar untuk mendapatkan pekerja bagi mengusahakan ladang.

“Semua ini boleh dibuat dengan menggunakan data, dan dengan teknologi kita ada sekarang, hanya memerlukan mengintegrasikan ke dalam satu platform sekali gus menjadikan ia lebih mudah diterima pakai,” katanya.

Terdahulu dalam dialog itu, beliau berkata beberapa tahun selepas COVID-19 telah menyaksikan perubahan iaitu ladang yang diwarisi generasi muda kini lebih terbuka untuk menggunakan teknologi bagi mengembangkan perniagaan dan kaedah pertanian mereka.

Redza berkata perubahan itu tepat pada masanya kerana negara perlu bergerak ke hadapan dalam meningkatkan keselamatan makanan dan mengurangkan kebergantungan kepada makanan import, berikutan isu global seperti perang Rusia-Ukraine menyebabkan lonjakan mendadak harga tanaman.

“Ramai petani (di Malaysia) terdiri warga emas, kebanyakan mereka berkata ‘telah melakukan itu sejak sekian lama dan tidak memerlukan teknologi’, tetapi sejak COVID-19 telah mencetuskan perubahan yakni semakin ramai mula melihat potensi teknologi.

"Petani serah ladang kepada generasi akan datang, mereka yang belajar di luar negara dan menggunakan teknologi untuk mengembangkan perniagaan maka di sinilah perubahan mula berlaku," katanya.

IRC 2025 menghimpunkan pemimpin industri, pembuat dasar dan pakar global dari ASEAN, Australia, Amerika Syarikat, Arab Saudi dan negara lain.

Bertemakan ‘Leaping into the Quantum Frontier: Regulation and Innovation in the Tech Era’, persidangan itu membincangkan mengenai keseimbangan antara kemajuan teknologi dan peraturan dalam dunia yang semakin saling berhubung.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan