GEORGE TOWN, 9 Jan (Bernama) -- Pelaksanaan Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara adalah langkah permulaan dalam menyediakan rangkaian mod pengangkutan lebih efisien kepada penduduk Pulau Pinang.
Menjelang majlis pecah tanah projek itu pada Sabtu ini, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata sebagai sebuah negeri yang sedang pesat membangun beliau percaya sudah tiba masa projek berkenaan dilaksanakan.
Beliau berkata ia dapat membantu mengurangkan isu terutama berkaitan kesesakan lalu lintas yang disebabkan peningkatan penggunaan kenderaan persendirian.
“Selagi kita tak ada line yang pertama, kita tak akan ada line yang kedua, ketiga atau keempat jadi, projek (LRT) ini satu permulaan kepada sistem pengangkutan awam lebih signifikan kepada Pulau Pinang.
“Apabila (projek LRT) ini berjaya ia boleh mewujudkan jajaran seterusnya maka pengangkutan awam harus menjadi satu pilihan mod pengangkutan kepada orang ramai, jadi ia dapat menangani isu kesesakan lalu lintas, mungkin lebih efisien dan menjimatkan masa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat 2024/2025 di sini hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang di Tapak Projek Bandar Sri Pinang.
Terdahulu, pada majlis itu Chow turut menyampaikan anugerah kepada penghibur, pemuzik dan penyanyi Kathleen M. Rodrigues, 77; R. Asan Anbananthan, 77, yang juga veteran dan pengajar seni Silambam Nillaikalakki; dan pelukis dan pendidik seni Datuk Tan Chiang Kiong, 92.
Anugerah berkenaan sebagai menghargai jasa mereka dalam memelihara warisan tidak ketara di negeri ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial