AM > BERITA

Hakisan Pantai Semakin Serius, Lebih 50 Penduduk PPRT Kampung Jawa Terjejas

11/01/2025 08:51 PM

Oleh Zafri Razali

KUANTAN, 11 Jan (Bernama) -- Masalah hakisan pantai Sungai Lumpur di Kampung Jawa, Rompin dekat sini disebabkan fenomena air pasang besar semakin meruncing dengan lebih 50 penduduk berhampiran kini terjejas.

Seorang penduduk Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Jawa, Nur Zakiah Hamdan, 28, berkata kejadian itu mula berlaku pada 2019 dan menimbulkan kebimbangan kepada penduduk yang tinggal berdekatan pantai.

“Rumah PPRT di sini berbentuk sebuah, sebuah dan jarak antara satu sama lain agak jauh. Masalah hakisan pantai ini telah mengakibatkan beberapa buah rumah, dianggarkan 10 buah rumah PPRT yang terjejas. 

“Antara teruk terkesan adalah rumah saya. Kalau dahulu, jarak rumah saya dengan pantai dianggarkan lebih 50 meter tetapi sekarang tinggal kira-kira beberapa meter sahaja,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 

Suri rumah itu yang tinggal bersama suami, bapa dan dua adiknya sejak 15 tahun lepas berkata masalah itu pernah diadukan kepada pihak pentadbiran di peringkat kampung, namun masih belum ada tindakan diambil. 

“Risau jugalah sebab nampak semakin teruk bahkan sebelum ini pun, kami pernah pindah sementara ke balai raya berdekatan atas faktor keselamatan berikutan ancaman ombak besar disebabkan fenomena air pasang besar,” katanya. 

Mengharapkan permasalahan yang membelenggu mereka ini ada langkah penyelesaian, seorang lagi penduduk, Kamal Asmawi Taib, 45, merayu Kerajaan Persekutuan untuk segera membina benteng penahan ombak bagi memastikan keselamatan kediaman serta nyawa penduduk di situ.

“Kita tak boleh jangka masalah hakisan ini. Setahun demi setahun, hakisan makin serius sebab itu, pentingnya langkah segera diambil,” katanya. 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman Datuk Seri Mohd Johari Hussain ketika diajukan isu itu berkata beliau sedia maklum mengenai hakisan pantai yang menjejaskan penduduk kawasan terbabit. 

Menafikan tiada tindakan diambil, beliau berkata pihaknya bersama pegawai Pejabat Daerah dan Tanah Rompin serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang telah beberapa kali meninjau kawasan terbabit selain sudah mengemukakan permohonan pembinaan benteng kepada Kerajaan Persekutuan. 

“Kita tahu masalah hakisan pantai terutama di kawasan PPRT Kampung Jawa tahun ini semakin teruk. Saya harap mereka bersabar kerana masalah ini telah kami bawa kepada Kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan peruntukan bagi membina benteng,” katanya.

Setakat ini, Mohd Johari berkata beliau difahamkan oleh JPS bahawa kos pembinaan benteng penahan ombak sepanjang lebih satu kilometer, dianggarkan bernilai lebih RM16 juta dan akan memberi manfaat kepada penduduk Kampung Jawa, Sungai Lumpur dan Tanjung Tujuh,

Beliau berkata pembinaan benteng kekal ini amat penting memandangkan benteng sementara yang dilaksanakan sebelum ini menerusi peruntukan kecil kerajaan negeri, tidak mampu bertahan lama untuk melindungi kawasan terbabit daripada ancaman hakisan pantai. 

“Selain penyelesaian ini, kita juga akan menimbangkan langkah memindahkan penduduk kawasan terbabit, namun ada beberapa perkara yang perlu diperhalusi sebelum dilaksanakan,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan