AM > BERITA

Pengkreditan Bantuan Awal Persekolahan Diperluas Kepada Pelbagai Bank - Fadhlina

13/01/2025 02:34 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) memperluas pengkreditan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada semua bank bagi memastikan pengurusan yang lebih cekap dan selamat.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata agihan BAP sebanyak RM150 secara one-off (sekali beri) itu akan dikreditkan ke akaun ibu bapa atau penjaga serta murid. 

“Kalau sebelum ini hanya satu atau dua bank sahaja, saya fikir perluasan tahun ini adalah bukti bahawa kerajaan amat prihatin dalam memastikan semua murid dapat manfaat yang sama, ” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Cek Cura BAP tahun 2025 di Auditorium Tan Sri Abdul Rafie, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama ialah isteri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Komunikasi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil dan Ahli Parlimen Wangsa Maju Ir Ts Zahir Hassan.

Fadhlina turut mengingatkan pihak sekolah yang menguruskan BAP secara tunai  untuk sentiasa mematuhi  Arahan Perbendaharaan supaya semua proses agihan berjalan lancar. 

“Bagi jumlah yang lebih RM10,000, pihak sekolah perlu mematuhi Arahan Perbendaharaan seperti soal pengawal dan perlu diiringi pihak polis di bank,” katanya. 

Setakat 10 Jan, KPM selesai menyalurkan BAP sebanyak RM723,165,300 untuk 4,821,102 murid Tahun Satu hingga pelajar Tingkatan Empat sesi persekolahan 2024/2025. 

Dalam pada itu, beliau berkata agihan BAP akan diberikan kepada murid Tahun Satu sesi persekolahan 2025/2026 dan pelajar Tingkatan Enam sedia ada pada sesi persekolahan 2024/2025 bermula 16 Feb.  

Beliau berkata bagi murid baharu Tingkatan Enam sesi persekolahan 2025/2026 akan menerima agihan BAP bermula 1 Julai. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan